Melaka United boleh pergi jauh

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) semakin membara untuk melangkah jauh dalam saingan Piala Malaysia 2021 selepas berjaya mengungguli kumpulan C hasil dua kemenangan berturut-turut.

Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan berkata, kemenangan ke atas juara Liga Premier Negeri Sembilan FC dan naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC nyata menyuntik keyakinan dan semangat tambahan buat skuad Hang Tuah ketika ini.

Namun, beliau belum mendabik dada, apatah lagi berpuas hati dengan kejayaan tersebut memandangkan perjalanan untuk anak buahnya masih lagi panjang.

“Kemenangan adalah penting untuk memberi keyakinan yang tinggi buat pasukan, tetapi saya belum katakan kita (Melaka United) sudah selamat.

“Ini kerana kita masih perlu menghadapi empat lagi aksi peringkat kumpulan yang mana saya berharap pemain boleh jadikan kemenangan dua perlawanan pertama ini untuk mereka lebih yakin bermain.

“Insya-Allah jika mereka boleh bermain lebih baik, saya yakin pasukan ini boleh melangkah jauh dalam saingan Piala Malaysia tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan bertemu Kedah Darul Aman FC.

Dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu, Melaka United berjaya menundukkan tuan rumah 3-1, untuk muncul pendahulu kumpulan C.

Mengulas perubahan pasukan dalam saingan Piala Malaysia berbanding aksi di Liga Super sebelum ini, Zainal Abidin berkata tiada rahsia tertentu yang dipraktikkannya.

Sebaliknya, peningkatan mutu permainan itu dijelmakan hasil ‘kerja rumah’ yang dilakukan untuk mengenal pasti segala kelemahan dan kekuatan pasukan sebelum penambahbaikan dilakukan.

“Selepas tamat 22 perlawanan Liga Super, kami telah membuat ‘homework’ dengan menganalisa segala kekurangan dan kekuatan pasukan.

“Alhamdulillah tempoh dua minggu yang ada telah banyak memberikan perbezaan buat pasukan Melaka ketika ini terutama dalam aspek pertahanan.

“Saya harap ia dapat berterusan dan pemain dapat terus mempamerkan disiplin tinggi dan semangat kerjasama yang baik dalam aksi seterusnya,” katanya lagi.

Untuk rekod, saingan Piala Malaysia 2021 akan terhenti selama tiga minggu bagi memberi laluan kepada jadual perlawanan antarabangsa.

Selepas bersambung, Melaka United dijadual bertemu Kelantan United FC di Stadium Hang Jebat pada 29 Oktober ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1270
Kongsi :
Previous post Tanco dianugerah projek penambakan tanah di Melaka untuk pelabuhan Tanjung Bruas
Next post Tiada varian MU dikesan di Malaysia- MOSTI
Ubah saiz-+=