Mentaliti atlet perlu diubah – Ahmad Faizal

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

ALOR GAJAH 10 Okt. – Pemikiran atlet dan jurulatih yang menganggap penyertaan dalam mana-mana kejohanan luar negara sebagai ‘medan pendedahan’ perlu segera diubah sama sekali.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jika istilah pendedahan masih dijadikan ukuran kepada pemain ia sekali gus akan mempengaruhi serta memberi kesan terhadap mutu permainan mereka dalam kejohanan disertai.

AHMAD Faizal. Foto: MR. Azli.

“Kita tidak boleh menggunakan istilah ‘pendedahan’ atau ‘percubaan’ setiap kali atlet profesional menghadapi perlawanan di peringkat antarabangsa kerana ia juga akan melemahkan mentaliti atlet.

“Jika mereka pergi bertanding, kenalah pergi dengan persiapan yang rapi dan berikan yang terbaik. Andai kalah, mereka perlu cari jalan atau sebab untuk perbaiki prestasi.

If you go, you must go (jika anda pergi bertanding, anda mesti pergi) dengan persiapan yang rapi, cuba berikan persembahan yang terbaik.

“Cuba kita fikirkan apakah para pemain kita yang telah pun melalui pertandingan mereka berhajat untuk tewas? Saya percaya para pemain tidak ada yang mahu tewas dan telah mencuba sedaya upaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Alor Gajah di A’ Famosa Resort, di sini hari ini.

Terdahulu, pada Kejohanan Badminton Piala Uber di Ceres Arena, Denmark semalam, menyaksikan skuad badminton negara tewas 4-1 dengan tuan rumah.

Malah Skuad Harimau Malaya juga tumpas dalam dua aksi persahabatan antarabangsa dengan Uzbekistan (1-5), malam tadi dan Jordan (0-4) dua hari lalu di Stadium King Abdullah II, Amman, Jordan.

Mengulas lanjut, beliau turut kecewa dengan situasi itu dan berharap ada ruang untuk memperbaiki pasukan negara.

“Walaupun kecewa dengan kekalahan, saya akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet kita yang menyertai sukan di peringkat antarabangsa.

“Jangan kita kecam atlet sehingga mereka tidak boleh bangkit semula, sebaliknya menyokong mereka dan sebagai peminat saya rasa masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

581
Kongsi :
Previous post KM jelas isu royalti pengeluaran pasir laut
Next post Bomba selamatkan pemandu, warga emas terperangkap banjir kilat di Cheng
Ubah saiz-+=