Merebak sehingga 10 km radius punca PKPD Kg Lubuk Redan

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

TANJUNG BIDARA 14 Mei – Peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak di Kampung Lubuk Redan menjadi penyebab kawasan berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu diputuskan Mesyuarat Pengurusan Bencana Daerah menerusi penilaian risiko apabila mendapati sebanyak 56 kes positif direkodkan di kampung berkenaan daripada 165 ujian saringan yang dijalankan.

Menurutnya, sehingga kini Kampung Lubuk Redan telah menyumbang 34 peratus daripada keseluruhan kes positif Kluster Kampung Hilir yang mana ia dikhuatiri akan terus merebak ke dalam komuniti sekiranya tidak dikawal lebih awal.

“Kes ini pada awalnya tercetus di sebuah rumah ibadat di Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru, namun, ia kini merebak di dalam radius 10 kilometer di kampung-kampung sekitar khususnya Kampung Lubuk Redan yang sehingga kini masih merekodkan kes positif COVID-19.

“Ia berpunca daripada aktiviti keagamaan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum menular dalam radius 10 kilometer membabitkan rumah-rumah ibadat yang lain hingga menyebabkan jangkitan begitu cepat dan meluas.

“Atas faktor itu, kita memohon pelaksanaan PKPD di kawasan terbabit yang turut bertujuan untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sehubungan itu, katanya, seramai 730 penduduk di kampung berkenaan kini tidak dibenarkan keluar dan orang luar juga tidak dibenarkan masuk bermula Ahad, sehingga 29 Mei depan.

Ujarnya, pihak berkuasa juga bakal melakukan pemantauan dan kawalan rapi di setiap pintu masuk kampung berkenaan bagi memastikan tiada pelanggaran SOP berlaku, sekali gus mengawal jangkitan daripada merebak ke komuniti luar.

Sementara itu, tinjauan Melaka Hari Ini di kampung berkenaan petang tadi mendapati belum ada sebarang kawalan atau sekatan di pintu masuk kampung berkenaan.

Bagaimanapun, didapati keadaan di kampung itu suram dan sepi dengan kebanyakan penduduk tidak keluar dari rumah, selain tidak banyak kenderaan melalui kawasan berkenaan.

Untuk rekod, setakat hari ini, Kluster Kampung Hilir telah merekodkan sebanyak 203 kes positif mengikut data yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

895
Kongsi :
Previous post 732,310 penerima dua dos vaksin setakat semalam
Next post COVID-19: Dua kematian pada 2 Syawal di Melaka
Ubah saiz-+=