Misi Shanmugam memakmurkan Gadek

Masa Membaca:3 Minit, 31 Saat

GADEK 13 Oktober – Gadek terletak di bawah Parlimen Alor Gajah dan disifatkan sebagai lokasi luar bandar yang berupaya untuk dibangunkan dan dimajukan suatu hari nanti.

Dengan keluasan kawasan 67 kilometer persegi dengan jumlah penduduk seramai 28,316 orang, Gadek dianggap sebagai permata tersembunyi di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, VP Shanmugam berkata antara tarikan yang ada di Gadek ialah potensi produk pelancongan yang mungkin kurang diketahui ramai.

Menurutnya, itu adalah antara misinya dalam memperkenalkan Gadek kepada umum, selain turut komited dalam menjaga aspek kebajikan, pendidikan dan kesihatan penduduk di kawasan itu.

PERMATA TERSEMBUNYI GADEK

Jelas Shanmugam, antara perancangannya sebaik dipilih memimpin kawasan itu ialah memperkasakan produk pelancongan di Gadek.

Antara yang diberi perhatian, ujarnya, ialah Air Panas Gadek yang kini sedang dalam proses naik taraf.

Katanya, kawasan air panas semula jadi itu disifatkan sebagai permata yang tersembunyi di kawasan itu.

“Sekarang pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) sedang giat melaksanakan kerja-kerja naik taraf dan pusat rekreasi Air Panas Gadek akan berwajah baharu tidak lama lagi.

“Dengan peruntukan lebih RM17 juta, air panas Gadek dijangka akan dibuka kepada umum pada awal tahun hadapan.

“Kawasan itu akan diangkat tarafnya dan dilengkapi ruangan lebih selesa buat pengunjung dan pelbagai lagi kemudahan disediakan untuk menarik kehadiran pelancong,” katanya.

Ujarnya, selepas di naik taraf Air Panas Gadek itu nanti akan memiliki pintu gerbang, bangunan pengurusan, 25 bilik hotel dan 13 chalet yang mana ia akan dimasukkan dalam 14 subsektor pelancongan Negeri Melaka.

2
SENTIASA cakna dengan segala masalah penduduk di Gadek.

ATASI BANJIR

Menurut Shanmugam, antara tumpuan lain beliau untuk membangunkan Dun Gadek adalah mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku saban tahun.

Jelasnya, kerja-kerja penyelesaian masalah banjir di Gadek sedang giat dilaksanakan dan untuk penyelesaian banjir jangka pendek, kerajaan telah meluluskan pembinaan ban bernilai RM450,000.

Katanya, bagi pembangunan luar bandar, sebanyak sembilan parit telah dibina baharu dalam Dun Gadek dan pelbagai lagi projek yang sedang giat dilaksanakan.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri masih dalam proses memuktamadkan perjanjian dan perolehan kebenaran terhadap 39 lot tanah milik persendirian bagi menyelesaikan isu banjir.

Jelasnya, kira-kira dua kilometer anak sungai dalam 39 lot tanah itu tidak digazetkan kepada kawasan sungai kerana terletak dalam kawasan persendirian.

“Ini merupakan antara penyebab beberapa kawasan di Gadek ini cepat dinaiki air sekiranya taburan hujan meningkat sebanyak 65 milimeter (ml) dalam tempoh sejam,” katanya.

4
SHANMUGAM ketika menyempurnakan penyerahan rumah prihatin kepada warga emas di Gadek.

KLINIK KESIHATAN BAHARU

Menurut Shanmugam, beliau telah meminta kepada kerajaan untuk membina sebuah klinik kesihatan baharu di kawasan Padang Sebang bagi keselesaan rakyat di kawasan terbabit memandangkan hanya terdapat satu klinik kesihatan di kawasan itu.

Bagaimanapun, ujarnya, permohonan itu masih diperingkat perbincangan dan sedang menunggu kelulusan.

“Menurut penduduk, klinik kesihatan yang terdapat di Padang Sebang itu sudah uzur dan telah berusia hampir 60 tahun.

“Turut difahamkan, lokasi klinik yang sedia ada juga tidak sesuai untuk warga Gadek mendapatkan rawatan di situ kerana laluan dalam klinik itu dijadikan laluan utama ke taman perumahan di bahagian belakang klinik itu.

“Jalan masuk ke klinik juga difahamkan sering menjadi tempat panas berlakunya kemalangan dan sekali gus lokasi klinik itu sendiri tidak sesuai dan ini menyusahkan rakyat tempatan untuk mendapatkan rawatan memandangkan jarak ke Hospital Alor Gajah juga jauh dari kawasan Padang Sebang,” ujarnya.

Tambah Shanmugam, beliau akan mengusahakan selagi mampu untuk memberikan keselesaan kepada warga Gadek khususnya dalam memberikan infrastruktur kesihatan yang selesa kepada rakyat.

5
PRIHATIN dengan aspek kebajikan penduduk.

BIODATA

Nama: P. Shanmugam A/L V. Pitchay
Umur: 53

Karier:-
– Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (2021 – kini)
– Ahli Dewan Undangan Negeri Gadek (2021 – kini)
– Usahawan

Pendidikan:-
– Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan North Borneo University College

Politik:-
– Ahli Majlis Tertinggi MIC Kebangsaan (2018 – kini)
– Pengerusi MIC Melaka

 

INFO DUN GADEK

Jumlah penduduk : 28,316

Kampung : 12
Taman Perumahan : 35

Rumah Ibadat:-
Masjid: 7
Surau: 22
Tokong: 4
Kuil: 6

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 4
Sekolah Menengah: 1
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina: 2
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil: 2
Sekolah Menengah Arab: 1
Sekolah Rendah Agama JAIM: 5
Tabika KEMAS/Perpaduan: 10

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3082
Kongsi :
Previous post Bulatan MITC menghala ke Hotel MITC ditutup bermula esok hingga 16 Oktober
Next post Transformasi Jasin ke arah Perbandaran Lestari, Berdaya Saing dan Inklusif – KM
Ubah saiz-+=