MITI bersama MIDA serius perkasakan ekonomi pasca Covid-19

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

ALAI 18 Julai – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri komited menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia(MIDA), untuk merancakkan ekonomi pelbagai sektor negeri dan akar umbi yang terkesan akibat impak pandemik Covid-19.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya akan memberi perhatian serius terhadap perkara itu, namun ia memerlukan sokongan Kerajaan Persekutuan bagi mencerdaskan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS), peniaga kecil dan sektor ekonomi utama negeri.

“Saya akan memberi perhatian serius terhadap dua permintaan industri pelancongan dan perindustrian Melaka kerana bagi kita teknologi-teknologi tinggi perlu dibawa masuk ke negara khususnya Melaka agar produktiviti sektor ini dapat ditingkatkan.

“Malah ia akan memberi pendapatan yang lebih baik kepada anak-anak Melaka secara khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan Lawatan Kerja MITI di Homestay Zainal, Kampung Alai, di sini pagi tadi.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan telah memainkan peranan besar dalam menangani Covid-19, malah usaha mencerdaskan pertumbuhan ekonomi sedang dipergiatkan.

“Kita juga punyai komitmen sama untuk cerdaskan ekonomi negara dan Negeri Melaka. Saya dan MITI turun melihat sendiri halangan dihadapi sektor ini, Melaka kita ada pelancongan dan perindustrian.

“Bukan sahaja sektor perkilangan dan perindustrian tetapi lihat pagi ini kita mulakan IKS dan inap desa dalam sektor pelancongan. Aktiviti ekonomi Melaka terawal dicerdaskan, sudah tentu perlukan sokongan dan dokongan,” katanya.

Views:

355
Kongsi :
Previous post Kerajaan bincang buka sempadan antarabangsa
Next post Malaysia bakal jadi destinasi pilihan pelabur tahun depan
Ubah saiz-+=