MOVAK diperluas bantu perkasa vaksinasi

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KUALA SUNGAI BARU 15 Julai – Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) akan diperluaskan ke seluruh kawasan pinggir negeri ini bagi memudahkan masyarakat mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, program itu  menyasarkan pemberian vaksin kepada komuniti secara mobile atau outreach (static).

“Saya fahamkan program MOVAK ini akan diadakan di DUN (Dewan Undangan Negeri) Asahan, Ayer Limau, Machap dan beberapa lagi DUN.

“Saya mengalu-alukan program ini kerana ini kaedah terbaik buat penduduk yang berada di kawasan terpencil untuk datang ke pusat MOVAK yang berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni penerima vaksin di Pusat MOVAK Peringkat Negeri Melaka di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) DUN Kuala Linggi.

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman dan ADUN Kuala Linggi, Datuk Wira Ar Ismail Othman.

Sementara itu, Rahmad berkata, program itu seharusnya disambut baik penduduk dalam membantu kerajaan menangani penularan pandemik COVID-19.

“Bagi penduduk yang sukar untuk pergi ke PPV, inisiatif MOVAK juga menyediakan kenderaan bagi mengakut mereka dari rumah masing-masing.

“Kerajaan negeri sedaya upaya akan memperluaskan pemberian vaksin dengan pelbagai cara antaranya kita rancang vaksinasi dari rumah ke rumah khusus buat warga emas dan individu terlantar.

“Setakat ini kita sedang mengumpul data dari setiap DUN dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

528
Kongsi :
Previous post Dua lagi kluster tempat kerja direkodkan
Next post Penduduk Lembah Klang dijangka selesai divaksin bulan depan
Ubah saiz-+=