MPHTJ akan tarik lesen penganjuran pasar Ramadan abai SOP

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

BUKIT BERUANG 15 April. – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) tidak teragak-agak menarik lesen penganjuran pasar dan bazar Ramadan di kawasan pentadbirannya jika aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diabaikan penganjur.

Yang Dipertuanya Datuk Shadan Othman berkata, hal itu selaras arahan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang memandang serius isu ketidakpatuhan SOP pengunjung pasar Ramadan seperti yang tular kelmarin.

Shadan berkata, hasil pemantauannya di beberapa pasar Ramadan di kawasan Hang Tuah Jaya setakat ini mendapati kesemua penganjur mematuhi SOP terutama apabila memperkenalkan sistem nombor bagi mengawal jumlah pengunjung dalam satu-satu masa.

 

SHADAN (dua dari kiri) menyerahkan lesen perniagaan kepada peniaga nasi campur, Nooridah Awang Rautin.

“Setakat ini memang kita berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan dan keadaan di setiap tapak pasar dan bazar Ramadan masih terkawal. Tahniah diucapkan kepada penganjur yang berjaya mematuhi arahan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Apapun, kita akan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan aspek pematuhan SOP ini kekal sepanjang Ramadan ini dan jika didapati ada (peniaga) yang tidak mengikut arahan kita akan menarik balik lesen penganjuran tapak tersebut,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini ketika melawat tapak Pasar Ramadan di Taman Bukit Beruang Utama, semalam.

Shadan berkata, sempena Ramadan ini pihaknya meluluskan enam tapak pasar dan bazar Ramadan di sekitar Hang Tuah Jaya membabitkan kawasan seperti Bukit Beruang, Ayer Keroh, Kampung Tun Razak, Taman Batu Berendam Putra, Sekolah Kebangsaan Taman Merdeka dan Dataran PKNM di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Daripada jumlah itu, sebanyak 466 lot bagi tapak pasar Ramadan serta 266 lot bazar Ramadan disediakan membabitkan lebih 500 peniaga seluruh kawasan Hang Tuah Jaya.

Sementara itu, rata-rata peniaga yang ditemui menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang berniaga di pasar Ramadan tahun ini.

Bagi Nooridah Awang Rautin,39, peluang berniaga kali pertama di pasar Ramadan itu nyata memberikan rezeki tambahan buatnya dan keluarga selepas hilang sumber pendapatan apabila diberhentikan kerja sebagai pembantu kantin sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

Ibu kepada dua anak itu berkata, sambutan pengunjung sangat menggalakkan sejak hari pertama Ramadan apabila nasi campurnya habis terjual.

“Syukur alhamdulillah dengan perniagaan ini sedikit-sebanyak saya dapat membantu suami menampung perbelanjaan keluarga.

“Terima kasih kepada MPHTJ yang memberikan lesen dan peluang berniaga di tapak pasar Ramadan pada tahun ini,” katanya.

Peniaga dari Bukit Beruang, Faizal Hashim, 48, gembira jualan air kopi hainannya mendapat sambutan menggalakkan.

“Kita memang gembira dan berpuas hati dengan penganjuran pasar Ramadan yang mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Walaupun kemasukan pengunjung dihadkan seramai 81 orang pada satu-satu masa, namun ia tidak menjejaskan jualan kami dan saya berharap semua pengunjung dapat terus mematuhi SOP bagi membolehkan peniaga kecil seperti kami mencari rezeki,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

449
Kongsi :
Previous post PM Muhyiddin ingatkan pengunjung bazar Ramadan patuhi SOP
Next post Kempen Shop@Melaka sempena Aidilfitri tawar diskaun 85 peratus
Ubah saiz-+=