MPHTJ ‘turun padang’ bantu penjaja dapatkan lesen sementara

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 3 Feb. – Penjaja kecil di kawasan pentadbiran Hang Tuah Jaya kini tidak perlu runsing untuk memohon lesen sementara, selepas Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) melaksanakan inisiatif turun padang dan membantu memudahkan urusan mereka.

Yang Dipertuanya Datuk Shadan Othman berkata, perkara itu dilakukan sebagai usaha menyokong inisiatif Melaka Bebas Berniaga seperti diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dalam Belanjawan Negeri Melaka 2021.

Jelasnya, bagi memastikan keberkesanan inisiatif itu, beliau bersama ahli majlis kawasan pergi berjumpa sendiri dengan orang ramai ke beberapa kawasan terpilih pada tarikh yang ditetapkan untuk memudahkan urusan mendapatkan lesen peniagaan itu.

Bagaimanapun, ujarnya lesen hanya akan diserahkan kepada mereka yang melengkapkan borang dan menyediakan dokumen diperlukan seperti salinan kad pengenalan, salinan pendaftaran syarikat (SSM) dan salinan kad suntikan pengendali makanan.

“Selain itu, mereka juga perlulah menyediakan wang tunai RM63.75 bagi tujuan bayaran proses (RM10), lesen untuk tiga bulan (RM48.75) dan patil (RM5).

“Apabila semuanya lengkap, kita akan menyerahkan lesen kepada mereka dalam sesi ‘walkabout’ di beberapa kawasan yang akan dijalankan pada tarikh yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Shadan berkata, Bukit Katil bakal menjadi lokasi pertama untuk program berkenaan pada Jumaat ini.

Seterusnya, pihaknya akan ke Bemban pada 11 Februari, Kesidang (19 Februari), Ayer Keroh (26 Februari), Durian Tunggal (5 Mac) dan Pengkalan Batu pada 12 Mac depan.

“Sebarang pertanyaan lanjut berhubung sesi itu, bolehlah menghubungi talian 06-2323 773,” katanya lagi.

Views:

531
Kongsi :
Previous post COVID-19: Bekas banduan dibebaskan meninggal dunia
Next post Gas Malaysia) melanjutkan pengecualian caj gas untuk pelanggan terpilih
Ubah saiz-+=