MUFC berkampung kali kedua di Paya Rumput

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) kembali menjalani kem latihan berpusat 2.0 (base-camp training) di Paya Rumput bermula hari ini.

Ia merupakan kem latihan berpusat kali kedua dianjurkan sepanjang tempoh liga berehat
bagi memberi laluan kepada kalendar perlawanan antarabangsa.

Pengurus MUFC, Muhammad Akram Abdullah berkata, kem latihan itu akan diadakan kira-kira seminggu sebelum aksi Liga Super bersambung pada 24 Julai ini.

KEM latihan kali kedua memfokuskan aspek keserasian pemain khususnya membabitkan kehadiran dua penyerang import baharu dari Brazil. (FOTO: Ihsan MUFC)

Jelasnya, antara fokus utama kem latihan itu ialah untuk memantapkan pasukan dan mencipta keserasian dalam kalangan pemain lama dan baharu.

“Fokus kami dengan harapan barisan staf kejurulatihan dapat membimbing pemain meneruskan momentum dalam perlawanan dan mewujudkan keserasian di atas padang.

“Saya yakin dan percaya jika semua menunjukkan kesungguhan dalam merealisasikan kem latihan berpusat kali kedua ini, Insya-Allah ia akan membuahkan hasil yang terbaik buat pasukan bagi menghadapi baki perlawanan akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Muhammad Akram turut memaklumkan skuad Hang Tuah bakal menghadapi beberapa siri perlawanan persahabatan dalam masa terdekat.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dan sekarang ini hanya menunggu keputusan daripada pasukan yang telah dirancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

“Pasukan mana yang akan ditentang, itu saya belum boleh dedahkan sehinggalah kita mendapat pengesahan. Apapun, ia akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Untuk rekod, 25 Julai ini, MUFC dijadual bertemu Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super selepas berehat lebih dua bulan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

449
Kongsi :
Previous post PPN akan memimpin Malaysia keluar daripada Pandemik – Tengku Zafrul
Next post ‘Dua kali daftar, dua kali terlepas janji temu terima vaksin’
Ubah saiz-+=