Nahas empat beranak: Pemandu treler mengaku tidak bersalah

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

IPOH, 21 Julai – Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian empat beranak pada minggu lepas.

Suhaimi Mohd Nor, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Hafiza Ishak.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan jenis Hino dengan nombor pendaftaran BPC 7022 dalam keadaan berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian empat penumpang dalam sebuah kenderaan.

Penumpang kenderaan itu ialah Rahim Ramli, 60, isterinya Siti Petimah Omar, 59, dan dua anak perempuan, Nor Nadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

Suhaimi didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, kira-kira 2.55 petang pada 13 Julai.

Dia dituduh mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun atau tidak lebih 10 tahun serta denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan selain hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh lima tahun dari tempoh sabitan.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya N. M Moganaraj Mithra manakala tertuduh diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM40,000 untuk kesemua empat pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan lesen memandu ditarik sementara.

Namun Amir Khusyairi merayu jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya merupakan punca pendapatan keluarga dan perlu menanggung isteri serta lima orang anaknya.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM8,000 untuk kesemua empat pertuduhan serta syarat tambahan penjamin adalah ahli keluarga dan lesen memandu ditarik, sementara menunggu kes selesai.

Tertuduh membayar jaminan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Ogos.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1324
Kongsi :
Previous post Al Jufferi tekad buru emas keempat Kejuaran Silat Dunia sebelum bersara
Next post Ibu didakwa bunuh anak perempuan berusia 11 tahun
Ubah saiz-+=