Negara berada di landasan terbaik pulih daripada krisis kesihatan, ekonomi – PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Indikator semasa jelas menunjukkan bahawa Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk pulih daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda negara sejak dua tahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, antara indikator utama adalah prestasi eksport Malaysia yang berdaya tahan dengan nilai eksport melebihi RM100 bilion pada Disember 2021, yang mana pencapaian ini mencatatkan rekod baharu mencecah RM123.8 bilion dan berkembang 29.2 peratus, tahun ke tahun.

“Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) mengesahkan firma-firma Amerika Syarikat melabur sebanyak RM165.73 bilion dengan lebih 130,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan di mana 90 peratus daripadanya diisi rakyat tempatan.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) (juga) telah meluluskan RM109.1 bilion dalam tempoh 100 hari pentadbiran saya bagi meningkatkan pelaburan asing dalam sektor pembuatan dengan unjuran 25,000 peluang pekerjaan,” katanya di laman Facebook beliau, hari ini.

Ismail Sabri juga menegaskan bahawa kerajaan akan terus meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia melalui pelbagai inisiatif dan program yang melibatkan pelaburan tempatan dan luar negara.

Menurutnya, semua inisiatif yang sedang dilaksanakan membolehkan kadar pengangguran pada Disember 2021 turun kepada 4.2 peratus berbanding 4.3 peratus pada November 2021 berikutan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial.

“Projek terbaharu yang dilaksana oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), iaitu Kedah Rubber City (KRC) bakal menarik pelaburan kira-kira RM10 bilion dan sudah mencecah RM4,000 bilion setakat ini.

“Selain itu, KRC juga mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan baharu kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri menambah menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja), kerajaan akan menyediakan kira-kira 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

147
Previous post MOTAC atur latihan SOP baharu umrah
Next post Pelajar Melaka di Mesir dapat penempatan selesa – KM