Nilai eksport industri florikultur RM417.3 juta tahun lepas – MAFI
KOTA BHARU, 4 Jun – Industri florikultur terutamanya bunga orkid merupakan antara produk bernilai tinggi yang mempunyai permintaan pasaran tumpuan apabila mencatatkan nilai eksport RM417.3 juta pada tahun 2021 berbanding RM403 juta pada tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata pada tahun 2021 juga, pengeluaran bunga-bungaan negara dianggarkan berjumlah 414 juta keratan atau pasu dengan nilai RM270 juta.
Katanya agenda meningkatkan eksport produk dan hasil bersasar seperti meningkatkan pertumbuhan pasaran dan pembangunan produk bernilai tinggi merupakan antara strategi yang diberi tumpuan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0.
“Justeru, permintaan yang semakin meningkat di pasaran global dalam industri florikultur ini, pastinya memberi peluang kepada pengeluar tempatan untuk terus meneroka dan membangunkan peluang pasaran baharu.
“Seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara dari segi pewujudan pendapatan dan kesan limpahan positif kepada pelbagai sektor lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kota Bharu, di sini malam tadi.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Haslina Abdul Hamid serta Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.
Mengulas mengenai penganjuran Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022, Ahmad berkata edisi ketujuh itu dianjurkan bermula Khamis hingga 12 Jun (2-12 Jun) depan dan akan beroperasi 10 pagi hingga 11 malam.
“Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 menyasarkan kira-kira 300,000 pengunjung dan sasaran nilai jualan sejumlah RM3.5 juta.
“Seramai 170 usahawan tani diberikan ruang untuk memasarkan hasil pertanian mereka pada pesta kali ini,” katanya.
Beliau berkata Program ini juga bersifat serampang dua mata yang turut mempromosikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 yang bakal diadakan pada 4 hingga 14 Ogos depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.