Tujuh cedera, pemandu diserang sawan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 4 Jun – Tujuh cedera termasuk seorang patah hidung selepas sebuah kereta merempuh sembilan kenderaan lain dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Taman Ciptaco, Jalan Tun Abd Razak Lebuh Ayer Keroh berhampiran kompleks membeli-belah di sini, malam tadi.

Kemalangan itu menerusi beberapa rakaman video turut tular di media sosial malam tadi.

Dalam kemalangan pada jam 9.14 malam itu, mangsa yang cedera terdiri daripada seorang lelaki berusia 38 tahun dan enam wanita termasuk pasangan adik-beradik dan warga emas, yang kesemuanya berusia antara 21 hingga 73 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Amran @ Mohamad Zaki Omar berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu sebuah kereta jenis BMW berusia 38 tahun dalam perjalanan dari arah lampu isyarat berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menghala ke simpang lampu isyarat taman tersebut.

Katanya, ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat taman berkenaan, pemandu terbabit diserang sawan mengakibatkan dia tertekan pedal minyak dan merempuh kenderaan lain di hadapannya.

KEMALANGAN membabitkan 10 kenderaan di Jalan Tun Abd Razak, Lebuh Ayer Keroh

“Pemandu berkenaan kemudian sekali lagi diserang penyakit itu, menyebabkan berlaku rempuhan kedua.

“Akibat kemalangan itu, pemandu berkenaan dan enam lagi cedera termasuk seorang wanita patah hidung,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk menerima rawatan.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1363
Kongsi :
Previous post Nilai eksport industri florikultur RM417.3 juta tahun lepas – MAFI
Next post PM Ismail Sabri ucap selamat jalan kepada kumpulan pertama jemaah haji Malaysia
Ubah saiz-+=