‘No Right Turn’ bermula Isnin depan
BANDARAYA MELAKA 7 September – Persimpangan Stadium Hang Jebat di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) menjadi lokasi pertama bagi projek perintis percubaan pelaksanaan ‘No Right Turn’ bermula jam 12 tengah malam, 11 September ini ( Isnin depan).
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, tempoh percubaan itu akan dilaksanakan sepenuh masa selama dua minggu tanpa sebarang had atau jadual masa tertentu.
Jelasnya pelaksanaan itu bertujuan memberi ruang kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) menilai dan mencari penyelesaian terbaik mengatasi kesesakan laluan utama di Negeri Melaka.
Katanya, inisiatif sama akan dilaksanakan di dua lagi persimpangan selepas tempoh percubaan selama 14 hari di persimpangan Stadium Hang Jebat dijalankan.
“Secara keseluruhan tiga persimpangan dikenal pasti untuk pelaksanaan inisiatif ini iaitu Persimpangan Stadium Hang Jebat dan persimpangan AEON Ayer Keroh-Melaka Mall, selain Persimpangan Kandang-Duyong bagi laluan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).
“Perlaksanaan ini adalah dalam tempoh percubaan jadi selepas dua minggu kita akan lihat semula sama ada ia akan memberi kesan negatif atau positif.
“Sekiranya ia negatif kita akan melaksanakan mitigasi atau kajian semula menerusi JKR untuk lihat perkara ini boleh dilaksanakan atau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi tetamu Program Dialog 1.30 di konti siaran MELAKAfm, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah JKR Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman.
Mengulas lanjut, Hameed berkata, pengguna melalui jalan Stadium Hang Jebat masih boleh membelok ke kanan sepanjang perlaksanaan itu.
“Cuma pengguna di Lebuh SPA yang datang dari Ayer Keroh tidak boleh membelok dan perlu melakukan pusingan U di bawah jejambat (flyover) persimpangan Cheng.
“Penduduk sekitar Krubong seperti di Taman One Krubong, Taman Krubong Perdana atau Stadium Hang Jebat yang ingin keluar dari persimpangan itu masih lagi boleh belok ke kanan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.