Cadang LTAM jadi pangkalan helikopter

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 September – Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) sebagai pusat perkhidmatan helikopter pada masa akan datang.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, cadangan itu akan dibincangkan bersama beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan sewaan helikopter.

Hameed berkata, perkara itu dianggap positif dan setakat ini sebuah syarikat menunjukkan minat terhadap cadangan yang disuarakan.

“Ada pelbagai lagi usaha untuk menghidupkan LTAM seperti penganjuran Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) dari 29 September hingga 1 Oktober nanti.

“KUAM adalah satu penganjuran program menghimpunkan pelbagai pesawat bukan sahaja membabitkan pengendali di Malaysia sebaliknya serata dunia,” katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu Program Dialog 1.30 di konti MELAKAfm, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penamatan perkhidmatan penerbangan domestik di LTAM, Hameed berkata, ia disebabkan kurangnya permintaan pengguna bagi pengangkutan udara di Negeri Melaka.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah berusaha sedaya upaya untuk menarik syarikat-syarikat penerbangan beroperasi di LTAM, namun setakat ini belum menerima maklum balas positif.

“Namun perbincangan bersama syarikat penerbangan akan diteruskan, Kerajaan Negeri akan bantu mereka agar boleh beroperasi di LTAM.

“Kita sedang menunggu laporan daripada syarikat penerbangan dan tidak menolak kemungkinan akan mempertimbang insentif bagi membantu syarikat-syarikat ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4056
Kongsi :
Previous post ‘No Right Turn’ bermula Isnin depan
Next post LTAM: Pesawat tak penuh sampai separuh punca henti sementara perkhidmatan
Ubah saiz-+=