Nur Hazlin ratu balapan dalam pembikinan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 Mac – Mahasiswa Politeknik Merlimau Melaka (PMM), Nur Hazlin Zaini merangkul pingat emas dalam acara larian 400 meter pada Kejohanan Olaraga Institut Pengajian Tinggi (IPT)atau (VTF) yang diadakan di Kompleks Sukan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), semalam.

Pelajar jurusan Diploma Pengurusan Pelancongan (DUP) di Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) PMM itu mempamerkan aksi membanggakan selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 70.47 saat.

Nur Hazlin menewaskan atlet dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nurul Nisa’ Ayuni Zakaria di tempat kedua dan Nur Fatehah Ariesha Mohd Shariman dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di tempat ketiga.

Ketika ditemui, Nur Hazlin menzahirkan rasa syukur dengan sokongan dan dorongan yang diberikan oleh semua pihak sehingga mampu meraih pingat emas.

“Saya percaya, kalau ada rezeki dan kekal fokus dalam latihan, saya boleh melakukannya.

“Saya masuk dua acara iaitu larian 400 meter dan 400 meter berpagar, namun saya gagal raih emas pada acara berpagar dan kekecewaan itu ditebus semula selepas merangkul emas dalam acara larian,” katanya.

WhatsApp Image 2023-03-17 at 15.13.54
NUR Hazlin (tengah) persama pemenang perak dan gangsa dalam Kejohanan VTF yang berlangsung di Kompleks Sukan UTeM.

Dalam pada itu, Pengarah PMM, Mejar Norizam Sekak berkata, kejohanan VTF itu adalah medan terbaik untuk melahirkan lebih ramai atlet yang berpotensi untuk diketengahkan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Nur Hazlin kerana membawa nama PMM ke peringkat lebih tinggi.

“Alhamdulillah dan tahniah kepada Nur Hazlin berjaya membawa nama PMM dan meraih pingat dalam kejohanan olaraga IPT yang dijenamakan semula sebagai Kejohanan Varsity Track and Field (VTF) ini.

“Semoga kejayaan diraih ini dapat melonjakkan lagi peluang Nur Hazlin dan mahasiswa lain dalam bidang sukan khususnya olahraga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2474
Kongsi :
Previous post 200 warga Gadek terima bantuan Ramadan
Next post Sahut cabaran penuhkan troli dengan RM50
Ubah saiz-+=