Operasi Khas Motosikal: 757 saman dikeluarkan

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 30 Jun – Sejumlah 757 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri ke atas penunggang motosikal dalam Operasi Khas Motosikal, di tiga plaza tol utama negeri ini, pada Ahad.

Operasi itu dijalankan di laluan keluar dan masuk motosikal di Plaza Tol Ayer Keroh, Simpang Ampat dan Lipat Kajang antara jam 4 petang hingga 9 malam.

Ketua JSPT negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kesemua 757 saman itu dikeluarkan pihaknya membabitkan pelbagai kesalahan trafik yang dikesan dilakukan oleh penunggang motosikal.

“Daripada jumlah itu, kutipan saman tertinggi direkodkan di Plaza Tol Ayer Keroh dengan 477 dan diikuti Plaza Tol Simpang Ampat (224) serta Plaza Tol Lipat Kajang (56).

“Tiga kesalahan tertinggi direkodkan dalam lima jam operasi itu adalah nombor pendaftaran tidak ikut peraturan dan ‘fancy’ dengan 160 saman, tiada lesen memandu (77) dan ubah suai ekzos (64),” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan melakukan kesalahan trafik berusia antara 19 hingga 25 tahun, selain operasi itu juga dijalankan bagi mengekang aktiviti lumba haram.

“42 motosikal turut disita atas kesalahan tiada lesen memandu dan melakukan ubah suai motosikal tanpa mengikut spesifikasi dibenarkan.

“Semua motosikal yang disita itu akan disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pemeriksaan dan tindakan lanjut,” katanya.

Views:

750
Kongsi :
Previous post Kerajaan sedang rangka RUU Langkah Sementara
Next post MBMB, MPAG ambil alih fasiliti sukan
Ubah saiz-+=