MBMB, MPAG ambil alih fasiliti sukan

0
941
PENGURUSAN Stadium Hang Jebat antara yang akan diambil alih MBMB.

AYER KEROH 30 Jun – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengambil alih pengurusan fasiliti sukan di negeri ini menggantikan Perbadanan Stadium Melaka (PSM).

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, perkara itu telah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), baru-baru ini.

Jelasnya, pengambilalihan itu melibatkan dua PBT di Melaka iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Sebelum ini PSM mengalami masalah kewangan dan sukar mendapatkan peruntukan yang besar bagi pembiayaan penyelenggaraan dan pembaikan fasiliti sukan di Melaka.

“Jadi kita buat keputusan dalam MMKN yang mana hampir semua fasiliti sukan akan dipindahkan kepada MBMB dan hanya satu fasiliti iaitu Kompleks Perahu Layar diserahkan kepada MPAG,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Post-Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka, di Seri Negeri.

Mengulas lanjut, katanya, semua staf PSM pula akan diserap masuk ke PBT yang mengawal fasiliti sukan berkenaan.

“Jadi, tidak ada pemberhentian atau pembuangan pekerja melalui keputusan ini kerana kesemua mereka akan diserap masuk terus ke dalam PBT,” katanya lagi.

Keputusan itu sekali gus, menyaksikan MBMB bakal mengambil alih pengurusan Stadium Hang Jebat dan Hang Tuah, diikuti Pusat Akuatik Hang Jebat, Pusat Ekuestrian Hang Jebat dan Pusat Lawn Bowl Hang Jebat.