Caj sewaan fasiliti sukan: “Kalau boleh biarlah munasabah”

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 30 Jun – Kerajaan negeri akan mengawal kadar sewaan fasiliti sukan di Melaka, agar ia tidak membebankan ‘kantung’ persatuan sukan.

Sehubungan itu jelas, Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, caj sewaan bagi enam fasiti akan dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mendapat kelulusan darinya terlebih dahulu.

Katanya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengambil-alih enam fasiliti sukan iaitu, Stadium Hang Jebat dan Hang Tuah, diikuti Pusat Akuatik Hang Jebat, Pusat Ekuestrian Hang Jebat dan Pusat Lawn Bowl Hang Jebat.

“Manakala, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan mengambil alih satu fasiliti iaitu Kompleks Perahu Layar.

“Kita tak nak kadar sewaan yang ditetapkan terlalu tinggi.

“Kalau boleh biarlah munasabah untuk mereka adakan latihan.

“Sebab itu segala kadar sewaan perlu mendapat kelulusan daripada pihak saya, memandangkan ia sudah diluluskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya juga akan berhubung secara dekat dengan semua persatuan sukan di negeri ini bagi menyelami segala permasalahan dihadapi mereka.

“Baru-baru ini saya telah menerima kunjungan daripada beberapa persatuan sukan yang menceritakan permasalahan mereka terutama membabitkan sesi latihan pasca Covid-19 ini.

“Ada di antara mereka turut meminta agar tempoh masa sesi latihan dipanjangkan sebagai persiapan menghadapi SUKMA Johor 2021 nanti.

“Jadi, saya akan bawakan perkara ini dalam mesyuarat Covid-19 negeri dan akan cuba penuhi permintaan-permintaan tersebut,” katanya lagi.

Views:

1201
Kongsi :
Previous post MBMB, MPAG ambil alih fasiliti sukan
Next post Ugut bunuh ibu, peniaga dihadapkan ke mahkamah
Ubah saiz-+=