Operasi SAR dua nelayan hilang diperluaskan 36 batu nautika sekitar Pulau Undan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

TELOK MAS 18 Jan – Radius pencarian dua nelayan yang dilaporkan hilang ketika menjaring di perairan Selat Melaka sekitar Pulau Undan diperluaskan kepada 36 batu nautika dari Jeti Nelayan Padang Temu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu pihaknya memohon bantuan beberapa agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), membabitkan
anggota 60 orang selain nelayan tempatan.

Katanya, memasuki hari kedua operasi SAR, pasukan polis, Maritim Malaysia dan APM masing-masing menggerakkan sebuah bot manakala bomba menggunakan tiga bot termasuk kevlar bagi memperluaskan kawasan pencarian.

“Operasi pencarian diperluaskan ke Pulau Undan dengan keseluruhan kawasan pencarian meliputi 54 kilometer kaki persegi (36 batu nautika).

“Hari ini, menerusi bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sehingga sekarang (setakat jam 2.30 petang), belum ada petunjuk jelas mahupun objek ditemui di kawasan perairan,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Nelayan Padang Temu.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan siasatan awal pihaknya menerima laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kandang oleh isteri Ahmad Norizan Mohammad,37, pada jam 6 petang Sabtu lalu

Bagaimanapun, pihaknya terpaksa memulakan operasi SAR semalam bagi mengesahkan kedua-dua mangsa, Ahmad Norizan dan Irwan Radjab, 47, turun ke laut.

“Polis turut merakam percakapan beberapa saksi yang memaklumkan terserempak dengan kedua-dua mangsa Rabu lalu.

“Saksi pertama memberitahu terserempak dengan kedua-dua mangsa di perairan ketika bot mangsa dalam perjalanan ke arah berbeza iaitu ke arah Pulau Udan pada hari Rabu kira-kira jam 10 pagi.

“Kita juga menerima maklumat dari saksi kedua semalam memaklumkan terlihat sebuah bot di Pulau Udan hari sama (Rabu) namun tidak melihat kelibat manusia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JBPM Melaka, Penguasa Kanan Bomba 1, R. Saiful Iswandi R. Hassan berkata unit udara bomba berdepan cabaran untuk terbang dengan lebih jauh berikutan keadaan angin agak kuat dengan kelajuan antara 35 hingga 38 knot.

“Keadaan laut juga bergelora jadi kita tambah bantuan penggunaan bot jenis kevlar yang boleh pergi dengan jarak lebih jauh,” katanya.

Views:

474
Kongsi :
Previous post Patuh SOP jika tidak mahu PKP 2.0 dilanjutkan di Melaka
Next post Bekalan minyak masak stabil
Ubah saiz-+=