Organ diderma penghantar makanan beri sinar kepada tiga pesakit
KLEBANG 22 Februari – Organ yang didermakan oleh Allahyarham Muhammad Faiszudin Rasip, penghantar makanan yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada tahun lalu memberi sinar kepada dua pesakit.
Pegawai Perubatan Pegawai Perubatan Unit Perolehan Organ Hospital Melaka (UPOH), Dr Fatin Rabi’ah Othman berkata, pesakit terbabit adalah dua lelaki yang akan menerima buah pinggang kiri dan kanan milik arwah.
Katanya, seorang penerima berusia 33 tahun dan seorang lagi berusia 31 tahun yang masing-masing berasal dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Manakala untuk organ kornea (mata), masih lagi menunggu ujian penyesuaian sama ada sesuai atau tidak dengan bakal penerima.
“Sebuah sinar harapan baru telah diberikan kepada pesakit yang memerlukan disamping berharap tindakan mulia ini dicontohi oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Semoga roh Allahyarham diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui dirumah keluarga allahyarham Muhammad Faiszudin menerusi Program We Care Family Visit Unit Perolehan Organ Hospital Melaka (UPOH), di Kilometer (KM) 327, Batu 7½ Jalan Bilal Karim, Bukit Rambai di sini.
Mengulas lanjut, Dr Fatin Rabi’ah berkata pihaknya menerusi Program We Care Family Visit UPOH itu telah melawat sebanyak tiga buah rumah penderma organ.
Katanya, program tersebut baharu dimulakan semula selepas pandemik COVID-19 melanda negara.
“Program melawat rumah penderma organ ini sebelum COVID-19 kita memang telah laksanakan iaitu pada tahun 2020 iaitu tahun UPOH ditubuhkan di Melaka.
“Dengan cara ini (program) kita memberi penghargaan kepada waris penderma kerana kesudian menderma organ si mati atau si meninggal untuk diberikan kepada pesakit lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.