Pampasan pengusaha PLKN bergantung pada kontrak

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SUNGAI UDANG 2 Mei – Kementerian Pertahanan belum mengeluarkan keputusan bagi permohonan pengusaha kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berhubung pembayaran pampasannya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu perlu bergantung kepada kontrak yang terkandung dalam perjanjian antara pengusaha sebelum ini.

Beliau berkata, pengusaha perlu mematuhi setiap dokumen yang ditandatangani susulan penutupan pengoperasian semua kem berkenaan sejak enam tahun lalu.

“Ada kontrak (perjanjian), kalau kontrak kata kena bayar, kena bayar (pampasan), kalau kontrak kata tak ada, tak adalah,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja dan ramah mesra Aidilfitri di Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Exco Kanan Peruhaman, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin.

Dalam pada itu, Khalid berkata, kerajaan akan menggunakan pendekatan berbeza sekirnya mengambil alih pengurusan kem terbabit pada masa akan datang.

“Untuk PLKN akan datang kita tidak laksana pendekatan yang sebegitu (seperti sebelum ini),” katanya.

Untuk rekod, terdapat 81 kem PLKN di seluruh negara dengan kos keseluruhan pembinaan dianggar mencecah RM1 bilion. Setiap pengusaha mengeluarkan antara RM12 hingga RM19 juta untuk membina dan mengoperasikan kem bagi menjayakan program bermula 2004 itu yang kemudian dimansuhkan pada 2018.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

248
Kongsi :
Previous post RMR realisasikan impian miliki rumah sendiri
Next post Petronas Penapisan Melaka kini dikenali sebagai ‘Melaka Energy Park’
Ubah saiz-+=