RMR realisasikan impian miliki rumah sendiri

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Mei – “Akhirnya hajat untuk miliki rumah sendiri hampir tertunai apabila permohonan pembinaan rumah mesra rakyat ini diluluskan walaupun belum mula dibina tetapi jauh disudut hati saya amat bersyukur,” itu luah penerima Rumah Mesra Rakyat (RMR) Normah Amit.

Normah, 64, berkata, walaupun besar harapan untuk memiliki kediaman sendiri tetapi dia pendamkan hajatnya itu beranggapan ia tidak akan terlaksana kerana tiada tanah untuk mendirikan rumah.

Menurut warga emas itu, dia tidak menduga apabila baru-baru ini anak sulungnya memaklumkan ada membeli sebidang tanah agar dia dapat membina sebuah rumah.

“Sebelum ini saya tinggal menumpang di atas tanah orang jadi sukar untuk membina rumah sendiri namun tanpa disangka-sangka anak ada membeli tanah untuk saya membuat rumah sendiri mungkin dia tidak sampai hati untuk melihat saya terus menumpang di atas tanah orang.

“Selepas itu saya cuba membuat permohonan untuk membina rumah menerusi RMR dan tidak menyangkan urusan itu dipermudahkan apabila permohonan diluluskan dan pembinaan akan dijalankan dalam masa terdekat ini.

“Syukur sangat akhirnya saya dapat miliki rumah pertama walaupun sudah berusia dan Insyaallah sekiranya dipanjangkan usia pada tahun hadapan saya dapat berpuasa dan beraya di rumah sendiri bersama anak-anak serta cucu,” katanya ketika ditemui di selepas Majlis Penyerahan Tawaran Pembinaan RMR oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Melaka, baru-baru ini.

Whatsapp Image 2024 05 02 At 12.24.13
NORMAH menunjukkan surat tawaran yang diterimanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima tawaran pembinaan RMR, Muhammad Farhan Basri, 34, berkata, Aidilfitri tahun ini amat bermakna buat keluarga kecilnya apabila bakal menerima hadiah teristimewa selepas permohonan pembinaan RMR diluluskan.

“Meskipun jauh di sudut hati ada keinginan untuk miliki kediaman sendiri tetapi kerana tidak mempunyai tanah saya pendamkan sahaja hasrat itu tetapi emak beberapa kali cuba memujuk agar saya tidak berputus asa dan cuba membuat permohonan.

“Syukur sangat urusan dipermudahkan dan saya juga berterima kasih kepada kakak kerana membenarkan saya membina rumah atas tanahnya. Melihat isteri dan anak gembira lega hati saya ialah bukan semua orang berpeluang miliki rumah sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

92
Kongsi :
Previous post Malaysia guna hubungan baik pelbagai negara bantu henti kekejaman di Gaza – PM
Next post Pampasan pengusaha PLKN bergantung pada kontrak
Ubah saiz-+=