Panggung Bangsawan bakal tingkatkan imej seni budaya warisan

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 Mei – Pembukaan semula Panggung Bangsawan memberi ruang dan peluang dalam meningkatkan daya saing serta visibiliti imej seni budaya warisan Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata ia juga bakal menjadi teras kepada pembangunan yang seimbang.

Katanya, pembukaan panggung itu juga dilihat sebagai usaha ke arah pemerkasaan industri pementasan.

“Pembukaan panggung ini turut memberi peluang kepada penggiat seni tanah air untuk menterjemahkan realiti kehidupan masyarakat berbilang kaum di Malaysia melalui cerita dan aksi yang bukan sahaja dapat menghiburkan, bahkan dapat mencuit perasaan serta pemikiran masyarakat.

“Sembilan produser turut mengambil peluang dan bakal menyajikan pelbagai program serta pengisian acara berprestij bertaraf antarabangsa,” katanya ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Pelancaran Panggung Bangsawan Melaka, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Pengerusi MCORP berkata Panggung Bangsawan Melaka telah diselia
sepenuhnya oleh anak syarikat MCORP iaitu MCORP Corporate Services Sdn Bhd.

Jelasnya, Kerajaan Negeri Melaka optimis memastikan segala aset yang dimiliki kekal terpelihara.

“Justeru, Kerajaan Negeri melalui MCORP telah mengambil inisiatif untuk mewajah semula bangunan ini selari dengan usaha menggamit kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Bangunan yang tesergam indah ini mampu memuatkan sehingga 392 orang penonton bagi satu-satu pementasan. Panggung ini turut dilengkapi dengan pendingin hawa, peralatan teknikal, sistem audio dan pencahayaan canggih masa kini.

“Orang ramai yang hadir ke panggung ini boleh menikmati keindahan pemandangan di tepi Sungai Melaka sambil bersantai di bistro yang berkonsepkan moden klasik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

196
Kongsi :
Previous post Bukit Cina jadi taman peringatan Malaysia-China – KM
Next post Perhalusi kaedah sesuai gamit pengunjung ke Panggung Bangsawan – KM
Ubah saiz-+=