Perhalusi kaedah sesuai gamit pengunjung ke Panggung Bangsawan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Mei – Kerajaan Negeri sedang memperhalusi kaedah bersesuaian untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Panggung Bangsawan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata pelbagai pendekatan yang akan digunakan namun kaedah terbaik yang memberi manfaat kepada pemain industri pelancongan negeri akan dilaksanakan.

Tambahnya, kedudukan Panggung Bangsawan yang strategik di tepi Sungai Melaka akan menjadi satu lagi daya tarikan pelancong dan akan dimanfaatkan sebagai salah satu kaedah.

“Pelbagai kaedah akan dilaksanakan untuk menarik pengunjung hadir ke Panggung Bangsawan dan kita akan perhalusinya.

“Sebagai contoh, kita sedang memikirkan untuk semua pengunjung membeli tiket dan menaiki beca ke Panggung Bangsawan.

“Dengan kaedah ini, ekonomi semua penggiat pelancongan negeri bergerak dan mereka dapat menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Panggung Bangsawan Melaka di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut mengenai pembukaan panggung terbabit, Ab Rauf berkata Melaka memiliki satu lagi mercu tanda baharu dalam subsektor pelancongan kesenian dengan pembukaan Panggung Bangsawan sempena TMM 2024.

“Pembukaan semula panggung ini dilihat dapat memberi nafas baharu dalam mempertingkatkan lagi daya imej seni budaya warisan masyarakat negeri Melaka.

“Panggung yang dinaiktaraf daripada sebuah bangunan pawagam yang terkenal suatu ketika dahulu bakal menjadi platform kepada Penggiat seni di dalam dan luar Melaka untuk mempersembahkan karya masing-masing,” katanya.

Untuk rekod, bangunan yang pernah menjadi tumpuan orang ramai untuk menonton wayang sekitar 1960-an hingga 1990-an itu kini diubah suai dengan sentuhan lebih moden dan dilengkapi dengan pendingin hawa, peralatan teknikal, sistem audio dan pencahayaan canggih masa kini itu mampu memuatkan hampir 400 penonton bagi satu-satu pementasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

59
Kongsi :
Previous post Panggung Bangsawan bakal tingkatkan imej seni budaya warisan
Next post MCORP dan pemain pelancongan ‘runding’ pakej menarik ke Panggung Bangsawan
Ubah saiz-+=