Paramedik Komuniti ‘adiwira’ masyarakat
AYER KEROH 8 Disember – Inisiatif Paramedik Komuniti yang dizahirkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bakal memberi impak positif kepada masyarakat setempat terutama ketika berlaku kecemasan.
Rata-rata rakyat negeri ini menyambut baik inisiatif berkenaan yang bakal melibatkan 339 buah kampung dan bakal bermula pada tahun depan.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Rambai Ahmad Nor Iman Shawal, 38 berkata, inisiatif itu amat baik dalam mendidik komuniti dalam aktiviti kesukarelawanan.
Bagaimanapun, katanya, sukarelawan yang dilantik perlulah diberikan latihan dan perlu dipantau setiap tiga bulan sekali.
“Paramedik ini salah satu peluang untuk kita ketengahkan belia dalam aktiviti kesukarelawanan, terutamanya memberikan bantuan awal kepada masyarakat sewaktu kecemasan.
“Dengan adanya Paramedik Komuniti ini, kita tidak lagi terlalu bergantung kepada agensi kesihatan, namun mereka yang dilantik perlulah mempunyai kemahiran asas yang cukup dalam memberikan bantuan.
“Bagi saya, usaha ini sangat bagus dan memberi impak positif kepada masyarakat khususnya di luar bandar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, Salina Ismail, 57, pula berharap sukarelawan Paramedik Komuniti diberikan insentif tetap oleh Kerajaan Negeri.
“Sebagai sukarelawan, saya memang sudah lama aktif dalam aktiviti begini, apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh umum inisiatif ini, sudah tentu saya amat tertarik dan akan mengajak rakan-rakan lain.
“Cuma cadangan saya jika boleh Kerajaan Negeri berikan sedikit saguhati atau insentif kepada sukarelawan ini supaya mereka nampak dihargai.
“Jika ada insentif sudah tentu ia menjadi tarikan kepada golongan belia untuk berkhidmat kepada orang ramai yang memerlukan bantuan,” katanya.
Mohd Shafiq Sedek, 30, pula menyifatkan selain insentif, pelbagai bentuk penghargaan juga boleh diberikan kepada sukarelawan terlibat.
“Kalau kita mahu orang muda sertai perkhidmatan ini, mereka juga perlu diberikan penghargaan, tidak seharusnya dengan wang ringgit, mungkin ada cara lain.
“Inisiatif ini sangat bagus, cuma perlu ada kerjasama banyak pihak khususnya daripada pihak Japerun dan Jabatan Kesihatan,” katanya.
Selaras dengan konsep ‘Caring Society’, pKerajaan Negeri akan memperkenalkan perkhidmatan Paramedik Komuniti Melaka di setiap 339 buah kampung di negeri ini bermula 2024.
Paramedik komuniti terdiri daripada tiga sukarelawan yang dipilih setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) yang akan bergerak ke seluruh pelusuk kampung untuk memberikan bantuan awal sekiranya berlakuĀ kecemasan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.