Parlimen Alor Gajah bantu segerakan permohonan rumah baharu mangsa kebakaran

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

REMBIA 13 Nov. – Pihak Parlimen Alor Gajah akan membantu mempercepatkan proses permohonan bantuan rumah baharu buat sebuah keluarga yang berhadapan insiden kebakaran rumah di Kampung Solok Mentangor, Sungai Petai, di sini.

Ahli Parlimennya Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, pihaknya akan berusaha menangani musibah yang dihadapi keluarga terbabit dengan mendapatkan kelulusan segera menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Katanya, permohonan bantuan rumah itu telah diusulkan Penghulu dalam mukim kawasan berkenaan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung keluarga itu.

“Kita akan cuba dapatkan menerusi saluran KPLB bagi memastikan keluarga ini menerima bantuan rumah yang bersesuaian dengan sewajarnya.”katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Terdahulu, MHI melaporkan sebuah rumah pusaka keluarga yang diwarisi sejak kira-kira 80 tahun lalu telah musnah dalam kebakaran sekitar jam 9.15 malam pada 8 November lalu.

Dalam kejadian itu, pelbagai perabot dan peralatan antik yang diwarisi berpuluh tahun lenyap dalam sekelip mata.

Rentetan kejadian itu, bantuan awal telah disegerakan pejabat Parlimen terbabit dengan menghulurkan bantuan kit makanan, wang tunai berjumlah RM1,000 serta kerusi roda dan lampin pakai buang kepada keluarga berkenaan.

Bantuan terbabit telah disampaikan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Alor Gajah Muhammad Rais Abu Hasan Ashaari menerusi kunjungannya menziarah keluarga terbabit, baru-baru ini.

Views:

1123
Kongsi :
Previous post MUSA tubuh jawatankuasa khas bincang nasib pemain, jurulatih
Next post Tiga individu satu kenderaan dibenarkan
Ubah saiz-+=