Parlimen: Perubahan tempat duduk ahli Parlimen

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR 13 Julai – Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang bermula hari ini menyaksikan perubahan tempat duduk ahli-ahli Parlimen termasuk bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut menyaksikan perubahan kedudukan ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Berdasarkan kedudukan di Dewan Rakyat hari ini, kelima-lima Ahli Parlimen itu berada di blok Bebas iaitu di kedudukan hadapan, di bahagian sebelah kiri Yang Dipertua Dewan Rakyat dan bersebelahan penyokong kerajaan.

Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), susunan tempat duduk hari ini juga dilakukan dengan mengambil kira penjarakan sosial.

Pada 29 Mei lepas, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata Dr Mahathir yang ketika itu pengerusi Bersatu dan empat lagi Ahli Parlimen Bersatu  terhenti keahlian mereka kerana melanggar perlembagaan parti.

Hamzah berkata keahlian Dr Mahathir dan empat lagi ahli terhenti serta merta selepas mereka bertindak duduk di blok pembangkang pada sidang Parlimen pada 18 Mei lepas.

Menurut kenyataan bersama dengan lima Ahli Parlimen iaitu Mukhriz, Syed Saddiq, Dr Maszlee, Amiruddin dan Datuk Shahruddin Md Salleh (Sri Gading), Dr Mahathir pada 10 Julai menegaskan mereka tidak bergabung dengan mana-mana gabungan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada permulaan persidangan memaklumkan bahawa hanya 174 Ahli Parlimen ditempatkan di dalam dewan setelah mengambil kira penjarakan tempat duduk sejauh satu meter dari bahu ke bahu dengan sebahagian penyokong kerajaan dan ahli Bebas ditempatkan di Galeri Awam.

Sebahagian ahli Parlimen pembangkang pula ditempatkan di tempat duduk pegawai di sebelah kiri Yang Dipertua dewan.

– BERNAMA

Views:

343
Kongsi :
Previous post eMFL: AlifD nekad cipta nama sendiri pada masa depan
Next post Parlimen: Tindakan segera perlu diambil kerajaan untuk tangani Covid-19 – PM
Ubah saiz-+=