PAS Melaka cadang wujud jawatankuasa COVID-19 diwakili parti politik

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 25 Okt. – PAS Melaka mencadangkan penubuhan jawatankuasa induk yang terdiri daripada semua parti politik di negara ini sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang supaya menangani pandemik COVID-19 secara bersama.

Pesuruhjaya PAS Melaka Datuk Kamaruddin Sedik berkata tindakan itu disfatkan sebagai langkah terbaik bagi semua parti politik di negara ini bersatu hati menangani pandemik itu.

Katanya, rundingan perlu diadakan bagi mengetengahkan idea dan pandangan masing-masing sekali gus mengalih perhatian rakyat mengenai pergolakan politik yang melanda negara pada ketika ini.

“Bagi meredakan isu politik, bentuk satu jawatankuasa di peringkat Persekutuan membabitkan semua parti politik mewakili semua parti tidak kira daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang.

“Duduk dalam satu jawatankuasa induk bagi menangani COVID-19 dengan mengadakan rundingan.

“Pihak pembangkang mungkin melihat mungkin mereka tidak diberi peranan (dalam menangani COVID-19),” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Seri Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan mahupun pembangkang perlu mengambil pentadbiran New Zealand sebagai contoh dalam menangani isu kesihatan itu.

“Kita boleh tiru seperti mana negara yang telah menangai isu COVID-19 dengan berkesan iaitu New Zealand yang terbaharu ini mengumumkan mereka bebas daripada pandemik terbabit.

“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Jacinda Ardern) mereka, di mana salah satu faktor yang boleh dilihat ialah semua parti politik bersatu hati menangani isu COVID-19,” katanya

Views:

295
Kongsi :
Previous post “Jangan mengheret rakyat kepada kehancuran” – PAS Melaka
Next post 83 nelayan terjejas aktiviti korek pasir terima sagu hati
Ubah saiz-+=