Pasar Malam Taman Seri Duyong berwajah baharu

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

DUYONG 8 Februari – Pasar Malam Taman Seri Duyong kini berwajah baharu selepas terpilih Program Transformasi Pasar Malam (PTPM) di Bandaraya Melaka melibatkan peruntukan RM180,000.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata inisiatif itu bagi memastikan semua gerai pasar malam di negeri ini dalam keadaan bersih dan tersusun.

“Hari ini (semalam) kita laksanakan PTPM di Pasar Malam Duyong menggunakan peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Pasar malam ini melibatkan kira-kira 120 peniaga, antara transformasi dilaksanakan seperti pemberian khemah baharu, menurap jalan dan pemasangan lampu-lampu bagi pencahayaan yang lebih menarik.

“Selepas ini kita akan laksanakan di Pasar Malam Semabok, usaha ini bagi memastikan kebajikan peniaga sentiasa terjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas mengadakan lawatan di Pasar Malam Duyong, di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Mengulas lanjut, Shadan berkata pelaksanaan PTPM di Bandaraya Melaka menjadi penanda aras dan contoh kepada penganjur pasar malam lain untuk memulakan transformasi.

“Ini juga memberikan imej baharu kepada pasar malam sedia ada selain menjadi daya tarikan pelancong yang akan merancakkan lagi ekonomi di Negeri Melaka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Noor Helmy turut berterima kasih atas usaha KPKT mentransformasi Pasar Malam Duyong ke arah lebih tersusun dan teratur.

“Terima kasih kepada KPKT atas peruntukan diberikan dalam usaha menaik taraf kemudahan peniaga di pasar malam ini, sebelum ini keadaan peniaga berterabur tetapi kini sudah diseragamkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3200
Kongsi :
Previous post Kursus Induksi SLDN tingkatkan Kualiti usahawan Melaka
Next post Tiga kali khatam sejak kenali Al Quran di usia 6 tahun
Ubah saiz-+=