Pasport: Imigresen mansuhkan sistem temujanji online, panjangkan waktu operasi kaunter

PUTRAJAYA, 29 April – Jabatan Imigresen memansuhkan Sistem Temujanji Online (STO) serta memanjangkan waktu pengoperasian pejabat pengeluar pasport dan kaunter bagi mengatasi kesulitan berhubung permohonan dan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud mengumumkan STO bagi semua pejabat pengeluar pasport di luar Lembah Klang dimansuhkan mulai 9 Mei manakala di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Melaka pula dimansuhkan mulai 16 Mei.

“Pemohon yang telah menerima tarikh janji temu melalui STO mulai 16 Mei 2022 tidak perlu lagi mematuhi tarikh yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee turut mengumumkan semua pejabat pengeluar pasport di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Melaka akan beroperasi pada hari Sabtu mulai 8 pagi hingga 1 petang bermula 14 Mei depan.

Selain itu, waktu pengoperasian kaunter imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru juga dipanjangkan sehingga 10 malam bermula 16 Mei 2022.

Khairul Dzaimee berkata kesulitan dihadapi rakyat Malaysia semasa proses permohonan dan memperbaharui PMA berpunca daripada peningkatan mendadak bagi PMA berikutan pembukaan sempadan negara mulai 1 April lepas hingga menyebabkan berlakunya kesesakan dalam STO.

Menurutnya,  sebanyak 151,173 PMA telah dikeluarkan di seluruh negara dari  1 hingga 26 April.

Secara purata, katanya permohonan harian PMA di seluruh negara mencecah 8,000 unit, meningkat kira-kira 40 peratus berbanding sebelum pembukaan sempadan.

Beliau berkata Jabatan Imigresen juga menyediakan perkhidmatan permohonan PMA tanpa perlu melalui STO seperti di Putrajaya di bawah kategori baharu, warga emas, Orang Kurang Upaya, pelajar, kanak-kanak dan pemohon yang akan menunaikan haji yang mana boleh terus hadir ke kaunter.

“Walau bagaimanapun bagi permohonan pembaharuan PMA, Pejabat Pasport Putrajaya hanya akan memproses permohonan yang dibuat dalam talian dan hanya pemohon telah menerima notifikasi melalui e-mel sahaja akan diberi perkhidmatan,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

477
Previous post Feri Dumai tiba di Melaka pada raya ketiga
Next post MASTI, PRAGMATIS ceriakan anak yatim sambut Aidilfitri