Patah kaki terlanggar komponen enjin kereta kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

ALOR GAJAH 2 Julai – Seorang penunggang motosikal patah kaki selepas terlanggar komponen sebuah kereta yang merempuh pembahagi lebuhraya dalam kejadian di Kilometer 198.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, petang tadi.

Kemalangan kira- kira jam dua petang itu turut membabitkan sebuah Perodua Alza.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, akibat daripada kemalangan itu, penunggang Yamaha Y15ZR berusia 44 tahun patah kaki kanan serta luka di kaki dan beberapa bahagian badan lain.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Mitsubishi Lancer dipandu pemuda berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah selatan menghala ke utara dikatakan hilang kawalan.

“Akibat daripada itu kenderaan terbabit kemudian terbabas ke kiri dan kanan jalan sebelum melanggar pembahagi jalan mengakibatkan enjinnya tercabut dan terpelanting ke laluan bertentangan.

“Motosikal berkenaan yang ketika itu berada di belakang kereta tidak sempat mengelak kemudian melanggar komponen kereta yang bertaburan di lebuhraya,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Arshad berkata, Perodua Alza yang berada di laluan bertentangan ketika kejadian turut terlanggar komponen enjin.

“Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka dengan ambulans bagi menerima rawatan.

“Difahamkan penumpang Mitsubishi Lancer turut tercedera dan pihak polis kini sedang mendapatkan maklumat lanjut kerana mangsa telah dibawa ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Views:

354
Kongsi :
Previous post RM100,000 naiktaraf tanah perkuburan Islam Ujong Pasir
Next post Menteri KPKT sasar tambahan 30 peratus anggota bomba wanita
Ubah saiz-+=