Menteri KPKT sasar tambahan 30 peratus anggota bomba wanita

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

PENGKALAN BATU 2 Julai – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan pertambahan 30 peratus bilangan anggota bomba wanita di masa akan datang.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, buat masa ini negara hanya mempunyai kira-kira lima peratus anggota wanita daripada jumlah keseluruhan 14,400 anggota bomba di Malaysia.

Jelasnya, pihaknya juga akan meneliti semula syarat dan kriteria kemasukan anggota baharu, khas untuk golongan wanita yang berminat menyertai profesion ini.

“Bagi wanita mungkin kita perlu teliti tak perlu lagi ujian-ujian fizikal dan lasak, sebaliknya fokus kepada ujian asas sahaja.

“Ini perlu untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam bomba, yang mana sehingga sekarang kita hanya ada kira-kira lima peratus sahaja anggota wanita dan jumlah itu kekal rendah seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Fokus utama kepada pertambahan anggota wanita bukan untuk melibatkan mereka dalam kerja-kerja lasak, sebaliknya meliputi tugas-tugas ilustratif, kaunseling dan menyantuni kaum wanita jika ada yang trauma dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat Penggerak Dasar Komuniti Negara, cawangan Parlimen Hang Tuah Jaya, di sini.

Mengulas lanjut, katanya, pertambahan anggota wanita juga diperlukan untuk memberikan kesedaran awam cegah kebakaran, khususnya melibatkan suri rumah yang banyak menghabiskan masa di dapur.

Dalam pada itu, Zuraida turut mengumumkan Melaka sebagai antara negeri yang memiliki anggota bomba wanita teramai di negara ini iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota di negeri ini.

Views:

257
Kongsi :
Previous post Patah kaki terlanggar komponen enjin kereta kemalangan
Next post KPKT tubuh Penggerak Komuniti Tempatan, langkah perluas Dasar Komuniti Negara
Ubah saiz-+=