PEDi bantu pertumbuhan ekonomi tempatan dan nasional.

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

MASJID TANAH 1 April – Penubuhan lebih banyak Pusat Digital Ekonomi Keluarga Malaysia (PEDi), mampu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan nasional khususnya kepada usahawan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, di Melaka, terdapat 30 PEDi didirikan bagi menyediakan akses capaian internet secara kolektif kepada kawasan, kumpulan kurang mendapat liputan selain merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar, mempertingkatkan sosioekonomi serta pembangunan modal insan.

Katanya, tujuh PEDi beroperasi di Masjid Tanah iaitu PEDi Taman Seri Lubuk Redan, PEDi Taman Bidara Permai, PEDi Kampung Paya Rumput, PEDi Kampung Pulau Semut, PEDi Taman Lendu Bakti, PEDi Kampung Kemus Tan Sri Naning dan PEDi Taman Bandar Baharu.

Menurutnya, pelancaran PEDi di Taman Bandar Baharu satu titik permulaan yang baik dalam usaha Kerajaan ke arah memperkasakan peranan PEDi dalam memacu pertumbuhan serta transformasi ekonomi digital penduduk setempat.

“Untuk makluman semua, di Melaka, seramai 905 usahawan aktif di PEDi. Daripada jumlah berkenaan, 35 orang usahawan datangnya dari PEDi Taman Bandar Baharu ini antaranya Puan Nabihah Karim dan Cik Nurul Laili Witra Samsudin yang membuktikan bahawa kejayaan mampu dicapai sekiranya ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

“Saya dimaklumkan, Puan Nabihah seorang suri rumah dan ahli PEDi mengusahakan perniagaan kuih-muih, biskut, kek, tart, manisan dan makanan sejuk beku.

“Begitu juga dengan produk Naqik Cookies berjaya menembusi pasaran Agrobazaar di Singapura, beliau menggunakan media sosial sebagai platform utama jualan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Merasmikan Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Dan Majlis Pelancaran Pusat Digital Keluarga Malaysia Di Pusat Digital Ekonomi Keluarga Malaysia, Dewan Komuniti Taman Bandar Baharu, Masjid Tanah, hari ini.

Hadir sama  Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Jelasnya peranan ikon usahawan adalah amat penting bagi menggalakkan lebih ramai rakyat untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan yang boleh mengubah nasib hidup mereka.

“Inilah fokus Kerajaan, jika dahulunya fungsi dan peranan PEDi lebih tertumpu kepada penyediaan capaian internet kepada masyarakat luar bandar dan program latihan asas.

“Kini peranannya lebih memberi penekanan kepada penjanaan pendapatan serta membantu ekonomi rakyat.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik pelancaran PEDi ini dan akan memberikan sokongan serta bekerjasama dengan pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan SKMM di dalam memastikan segala inisiatif yang dilaksanakan di bawah PEDi akan memberi impak kepada golongan sasar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1559
Kongsi :
Previous post Pembukaan sempadan: Masih perlu sentuh kad Touch ‘n Go di plaza tol
Next post Ismail Sabri tiba di Jakarta untuk lawatan kerja
Ubah saiz-+=