Pekerja gas melecur disambar api

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA SUNGAI BARU 16 Sept – Seorang pekerja kilang gas Petronas di Sungai Udang melecur pada bahagian muka, tangan dan kaki akibat disambar api ketika membakar sampah di hadapan rumahnya dekat Kuala Sungai Baru Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, Mohamad Rafi Abu Seman, 43, yang bersendirian ketika itu cuba menghidupkan api selepas menuang minyak petrol pada longgokan pokok ubi selepas membersihkan persekitaran rumahnya.

Menurutnya, selepas membiarkan beberapa minit minyak petrol itu, dia menghidupkan api untuk membakar sampah berkenaan namun berlaku letupan yang tidak disangka.

MOHAMAD Rafi mengalami kesan lecur pada muka, tangan dan kakinya akibat disambar api ketika membakar sampah di hadapan rumahnya di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Sabtu lalu.

“Serentak dengan itu, api menyambar muka tetapi saya sempat berpaling dan berundur, pada waktu itu juga saya merasakan muka dan beberapa bahagian tubuh lain merasa pedih yang amat sangat.

“Saya segera menyiram air dan meletak ubat gigi pada bahagian yang melecur, namun pedih masih terasa sehingga memaksa saya memanggil adik, Mohamad Naim untuk meminta bantuan menghantar ke Hospital ALor Gajah bagi rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Menurut Mohamad Rafi, doktor yang merawatnya memberitahu dia bernasib baik kerana hanya mengalami enam peratus lecuran pada bahagian muka, tangan dan kaki tetapi perlu mendapatkan rawatan susulan untuk beberapa minggu seterusnya.

“Kira-kira dua hari selepas itu, isteri menemui botol minyak wangi dan pewangi kereta yang dibuang pada tapak sampah di hadapan rumah saya.

“Saya tidak tahu bagaimana bahan tersebut ada di situ, mungkin ada pemilik kenderaan yang membuangnya di situ kerana rumah saya bersebelahan kedai makan,” katanya.

Katanya, dia mengesyaki bahan tersebut menjadi punca dan pencetus kepada letupan yang berlaku pada malam kejadian.

“Ini kerana sebelum ini, saya biasa membakar sampah menggunakan minyak petrol dan belum pernah berlaku kejadian yang seperti itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia berasa syukur kerana tidak mengalami kecederaan yang serius dan berazam lebih berhati-hati pada masa depan kerana kemalangan boleh menimpa sesiapa sahaja dan dimana-mana tanpa diduga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1369
Kongsi :
Previous post Rindu deruan motosikal trafik
Next post Rakyat diseru perkukuh azam, membugar semangat perpaduan sebagai satu keluarga
Ubah saiz-+=