Peladang, nelayan, penternak dan petani perlu segera daftar kad Peladang-i

TABOH NANING 14 November – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyarakankan kesemua peladang, nelayan, petani dan penternak hadir ke mana-mana cawangan Agrobank bagi mendaftarkan diri untuk memiliki kad pintar Peladang-i.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pelbagai keistimewaan dan manfaat akan diberikan kepada pemilik kad berkenaan, selain mereka juga secara automatik akan dilindungi dengan insurans takaful.

“Kepada mana-mana golongan yang belum mendaftarkan diri ini perlu segera menghadirkan diri di mana-mana Agrobank bagi memastikan diri mereka dilindungi insurans dengan ‘coverage’ sebanyak RM5,000.

“Malah, pemegang kad ini akan menerima pelbagai manfaat pada masa akan datang seperti pemotongan harga untuk mendapatkan barangan keperluan pertanian dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Semarak Kasih Peladang di Kompleks Japerun Taboh Naning, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ahli Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin.

Terdahulu, pada program itu, Ahmad turut menyampaikan Kit MAFI Prihatin, Inisiatif Touch Point di bawah MAFI Prihatin dan geran kepada penerima membabitkan keseluruhan seramai 674 penerima insentif itu yang turut didaftarkan kad pintar Peladang-i.

Ahmad berkata, 674 orang penerima yang terdiri daripada peladang, penternak dan nelayan dengan peruntukan sebanyak RM400,000 kepada Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Melaka.

Beliau berkata, skop pemberian Inisiatif MAFI Prihatin kini telah diperluaskan di mana sebelum ini hanya terbuka kepada kit makanan, tetapi kini diperluaskan kepada beberapa skop Touch Point dengan pemberian kepada barangan input pertanian, peralatan sokongan pertanian, jentera kecil, dan promosi galakan pasaran.

“Daripada peruntukan yang disalurkan menerusi Program Pembangunan Usahawan Agriprentice, sebanyak RM80,000 diagihkan kepada empat orang peserta yang mengusahakan projek tanaman cendawan dan sayuran seiring sebagai penyediaan suatu model perniagaan bagi membangunkan usahawan muda dengan mewujudkan pengurusan projek berkelompok terpilih.

“Malah dalam program diadakan ini juga seramai 23 petani akan menerima manfaat menerusi Skim Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana melibatkan peruntukan sebanyak RM30,174.50.

“Skim Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana juga adalah merupakan bantuan 50:50 sebagai galakan kepada peladang, petani dan penternak memiliki jentera kecil mereka sendiri, sekali gus mampu mengurangkan kos operasi golongan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

568
Previous post Hari kelepasan am pada 18, 19 November – PM Ismail Sabri
Next post Cuaca baik diramal sebelah pagi hari pengundian, Sabtu ini