Pelajar China ikuti pengajian di UTeM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DURIAN TUNGGAL 28 Jan – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bakal menerima penuntut daripada China hasil kerjasama strategik dalam bidang pengajian tinggi bersama Zhongxing Education Management Co. Ltd, Wuxi (ZEM).

Kedua-dua pihak memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi kerjasama strategik berimpak selama 10 tahun bermula tahun ini hingga 2032 sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama antara Malaysia dan China.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM Prof Dr Ghazali Omar berkata, kerjasama itu membuka lembaran baharu dalam landskap pengajian tinggi di negara ini.

“Menerusi kerjasama ini penuntut daripada China ditawarkan tiga kursus iaitu Sarjana Muda Teknologi ‘Internet of Things’ dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Telekomunikasi dengan Kepujian dan Sarjana Muda Teknologi Pengkomputeran Awan dan Aplikasi dengan Kepujian.

“Semua program pengajian ditawarkan itu mengambil masa tiga tahun,” katanya pada Majlis Menandatangani MOA itu di Kampus Induk UTEM Durian Tunggal, di sini, Selasa lalu.

Pada majlis itu pihak ZEM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Xu Gaoshan dan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Tan Yew Sing.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim, Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dr Md Nazri Othman dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer, Prof Dr Masrullizam Mat Ibrahim.

Ghazali berkata, mengikut perancangan 150 penuntut dari China akan memulakan pengajian bagi ketiga-tiga kursus ditawarkan pada sesi 2022/2023.

“Program ini unik kerana menerapkan kurikulum berpacu industri sebanyak 40 peratus yang dijalankan dengan penggunaan peralatan makmal dan tenaga pengajar daripada industri sekali gus memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

 

cina utem 1- PIHAK UTeM dan ZEM (dua kiri) bertukar dokumen selepas menandatangani MoA tersebut.

cina utem 2- KAKITANGAN UTeM dan ZEM bergambar bersama selepas pertukaran dokumen MoA.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1090
Kongsi :
Previous post Tempoh enam bulan kepada pemaju siapkan Taman Seri Aman Lagenda
Next post Dasar hasil baharu hanya diperkenal selepas ekonomi pulih, rakyat bersedia – Tengku Zafrul
Ubah saiz-+=