Pelaksanaan No Right Turn’ di Melaka Mall, Kandang-Duyong secara berperingkat

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

PAYA RUMPUT 11 September – Pelaksanaan ‘No Right Turn’ akan dilakukan secara berperingkat di dua lagi lokasi bermula minggu depan selepas percubaan inisiatif itu dilaksanakan di persimpangan Stadium Hang Jebat di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), hari ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, dua persimpangan lagi yang akan dibuat percubaan ‘No Right Turn’ adalah di persimpangan Melaka Mall dan persimpangan Kandang-Duyong.

Katanya, pelaksanaan itu dilaksanakan bagi melakukan penyuraian trafik pada waktu puncak.

“Kita akan selesaikan percubaan di persimpangan Stadium Hang Jebat, dahulu dan minggu depan kita akan buat secara berperingkat untuk Melaka Mall dan Kandang-Duyong.

“Kita cuba ambil (pendekatan) satu demi satu dan juga lihat respon dari pelaksanaan ini dahulu.

“Pelaksanaan ini adalah dalam tempoh percubaan jadi selepas dua minggu kita akan lihat sama ada ia memberi kesan positif atau sebaliknya sebelum kajian semula menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk lihat perkara ini boleh diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan hari pertama pelaksanaan ‘No Right Turn’ di Persimpangan Stadium Hang Jebat bersama Pengarah JKR negeri Datuk Ir. Ismail Abd Rahman, hari ini.

Menurut Hameed, pelaksanaan peringkat percubaan di persimpangan Stadium Hang Jebat akan dilaksanakan selama dua minggu dan dalam tempoh itu pihaknya akan melihat reaksi penduduk sekitar seperti One Krubong dan Krubong Perdana termasuk pengguna yang melalui laluan itu.

“Untuk pagi ini kita lihat pergerakan sedikit positif apabila pelaksanaan ini dibuat dan kesesakan yang bermula dari jejantas Cheng juga mula berkurang selain masyarakat yang keluar dari One Krubong serta Krubong Perdana juga nampak ramai.

“Selain pergerakan pada waktu puncak sebelah pagi, pergerakan pada waktu petang juga akan diambil kira untuk melihat kesempurnaan perlaksanaan percubaan ini. Saya rasa selepas ini masyarakat akan dapat terima secara perlahan-lahan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau, selain itu pihak JKR juga akan menambah lagi pemasangan papan tanda dan banting sebagai pemakluman mengenai pelaksanaan percubaan ‘No Right Turn’ yang dibuat selain hebahan juga akan dibuat lebih giat menerusi platform media sosial.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2739
Kongsi :
Previous post Sekampung warga Merlimau tonton wayang
Next post Lapan fokus Bajet 2024 Negeri Melaka – KM
Ubah saiz-+=