Sorting by

×

Sekampung warga Merlimau tonton wayang

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDA HILIR 11 September – Panggung wayang di sebuah pusat beli belah di sini gamat apabila hampir 500 warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau datang memberi sokongan kepada karya filem tempatan.

Program Wayang Sekampung yang sudah masuk edisi kedua itu merupakan anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Lebih manis, tayangan filem Malbatt Misi Bakara itu turut dihadiri tonggak utama filem berkenaan seperti Shaheizy Sam, Dafi Ismail Sabri, Dini Schatzmann dan Ikhram Juhari.

Bukan itu sahaja, malah, hero sebenar negara yang berjuang pada Misi Bakara sekitar tahun 1993 turut diundang pada program berkenaan.

Dr. Muhamad Akmal dalam ucapan ringkasnya berkata, tujuan program Wayang Sekampung itu diadakan adalah bertujuan menghargai dan menghayati perjuangan wira-wira negara dalam mempertahankan tanah air.

Pada masa sama, beliau juga mahu warga Merlimau memberi sokongan kepada karya tempatan yang bukan sahaja berkualiti, bahkan memupuk semangat cintakan negara bertepatan dengan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

“Filem berdasarkan kisah benar ini mampu menyuntik semangat cintakan negara sekali gus menghargai wira negara yang banyak berkorban demi Malaysia.

“Kesemua warga Merlimau yang hadir hanya perlu membayar RM10 seorang dan selebihnya ditanggung oleh saya,” katanya yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri.

Filem arahan Adrian Teh itu mengisahkan tentang perjuangan Batalion Malaysia (Malbatt) ketika terlibat dalam operasi membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap dalam perang saudara yang berlaku di Pasar Bakara di Mogadishu, Somalia setelah diserang pengganas pada tahun 1993.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1354
Kongsi :
Previous post 50,000 ‘healing’ malam minggu di Banda Hilir
Next post Pelaksanaan No Right Turn’ di Melaka Mall, Kandang-Duyong secara berperingkat
Ubah saiz-+=