Pelancong mula datang ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BANDA HILIR 14 Jun – Selepas kira-kira tiga bulan aktiviti sektor pelancongan dihentikan ekoran wabak Covid-19, lokasi tumpuan pelancong di sini kini mula didatangi pengunjung.

Keputusan kerajaan yang membenarkan sektor pelancongan domestik kembali beroperasi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) secara tidak langsung membolehkan orang ramai mula bercuti ke destinasi pilihan.

Mendapat pengiktirafan Bandar Warisan Dunia oleh UNESCO, Melaka popular di kalangan pelancong sama ada dalam atau luar negara dan tinjauan Melaka Hari Ini ke beberapa lokasi tumpuan mendapati pelancong mula berkunjung ke lokasi pelancongan walaupun tidak seramai seperti sebelum ini.

Bagi pelancong dari Kuala Lumpur, Fateha Nazri, 27, Melaka menjadi destinasi pilihannya dan rakan-rakan kerana banyak tempat menarik untuk dilawati selepas kerajaan mengumumkan sektor pelancongan dibuka semula.

Katanya, selain jaraknya yang dekat, makanan dan banyak tempat menarik membuatkan mereka bersepakat ke negeri ini.

“Ketika ingin membuat tempahan hotel, kami lihat ada promosi ditawarkan dan itu sebenarnya tarikan juga untuk orang ke Melaka.

“Walaupun suasana agak berlainan dengan orang ramai dilihat menjaga jarak dan memakai pelitup muka, itu sebenarnya lebih baik daripada bersesak seperti sebelum ini,” katanya ketika di temui di Kota A Famosa.

Bagi, Rohana Ismail, 47, dari Kelantan, percutian kali ini amat berlainan dan orang ramai dilihat mengamalkan saranan dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Suasana agak lain kali ini dan apa yang menarik selain hotel kami juga menikmati potongan harga menaiki Menara Taming Sari,” katanya.

Views:

1322
Kongsi :
Previous post Chong Wei mengimbau detik persaraan
Next post Peniaga lega terima kunjungan pelancong
Ubah saiz-+=