Peniaga lega terima kunjungan pelancong

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDA HILIR 14 Jun – Peniaga kecil khususnya mereka yang berniaga di tempat tumpuan pelancong di sini, yakin usaha diambil kerajaan negeri dalam menarik kembali pelancong ke negeri ini akan membantu mereka mendapatkan kembali punca pendapatan yang terjejas ekoran Covid-19.

Menurut peniaga, Nor Atika Kamis, 29, yang kembali berniaga pada Jumaat lalu, trend kedatangan pelancong dilihat agak merosot berbanding sebelum ini.

“Walaupun tidak seramai dahulu namun Alhamdulillah, masih ada pelancong yang datang melawat sekitar tempat bersejarah di sini dan singgah ke gerai untuk membeli baju.

“Kalau dulu hujung minggu pagi pelancong baik dari dalam dan luar Melaka sudah penuh memenuhi tempat tumpuan tetapi kini tidak… hanya dalam kumpulan kecil,” katanya.

Bagaimanapun beliau yang sudah empat tahun berniaga di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan percaya keadaan ketika ini tidak akan lama dan pelancong akan kembali ke Melaka seperti dahulu dengan pelbagai pendekatan diambil kerajaan negeri.

AHMAD Izzuddin menyusun minuman di gerainya.

Sementara itu, peniaga Ahmad Izzuddin Md Lazi, 20, berkata, beliau tidak bercadang untuk menambah stok barangan baharu dikedainya buat ketika ini memandangkan kehadiran pelancong masih lagi rendah.

“Pelancong ada tetapi tidak seramai dahulu, dalam sehari buat masa ini dalam empat atau lima keluarga yang singgah.

“Kebanyakan mereka datang dari Johor. Kalau dahulu waktu cuti boleh dikatakan ramai pengunjung dari Kelantan, Kedah datang,” katanya.

Menurutnya, usaha yang sedang diambil kerajaan negeri dalam menarik kembali pelancong ke negeri ini akan merancakkan semula aktiviti sektor pelancongan seperti sebelum ini.

Views:

418
Kongsi :
Previous post Pelancong mula datang ke Melaka
Next post Pelancong ‘check-in’ di hotel-hotel Melaka meningkat sehingga 72 peratus
Ubah saiz-+=