Pelancong ‘check-in’ di hotel-hotel Melaka meningkat sehingga 72 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 Jun – Pendaftaran masuk pengunjung ke beberapa hotel di Melaka meningkat sehingga 72 peratus semalam.

Perkara itu menunjukkan perkembangan positif sejak pembukaan semula industri pelancongan di negeri ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun lalu hingga 31 Ogos ini.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka, Khairulnizam Kasim berkata, susulan pengecualian cukai yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lalu, sebanyak 76 ahli persatuan MAH Melaka mampu menarik nafas lega dengan kelonggaran diberikan kerajaan untuk pemain industri pelancongan.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan itu menyelamatkan industri yang disifatkan kian tenat ekoran daripada orang ramai diarahkan untuk menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Mac lalu.

“Pengusaha hotel di negeri ini rata-ratanya menawarkan potongan diskaun terhadap harga bilik bagi membolehkan pelancong domestik bermalam di negeri ini.

“Alhamdulillah, semalam sahaja ada beberapa hotel yang merekodkan peningkatan daftar masuk pelancong.

“Ada yang mencatatkan peningkatan sebanyak 47 peratus dan ada juga yang meningkat sehingga 72 peratus, yang mana ianya perkembangan positif kepada industri pelancongan di Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Khairulnizam yang juga Pengurus Hotel Kings di Ayer Keroh berkata pendaftaran masuk pelawat ke hotel kendaliannya juga meningkat sehingga 32 peratus.

“Meskipun jumlah pendaftaran masuk pelawat semalam tidak terlalu tinggi, namun kita menjangkakan lebih ramai pengunjung pada minggu akan datang.

“Segala SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dipatuhi dengan meminimakan jumlah pelawat di satu-satu lokasi hotel,” katanya.

Views:

1001
Kongsi :
Previous post Peniaga lega terima kunjungan pelancong
Next post Sri Pengkalan Binaan (SPB Property) Taman Nuri raih Qlassic kualiti skor tertinggi di Melaka
Ubah saiz-+=