Pelancong puji Paramedik Komuniti Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDA HILIR 16 Mac – Paramedik Komuniti yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menerima maklum balas positif apabila rata-rata pengunjung dan pelancong memuji inisiatif berkenaan sebaik ia dilancarkan hujung tahun lalu.

Memaklumkan perkara itu, Penyelaras Paramedik Komuniti Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, rata-rata pelancong memilih Melaka sebagai destinasi percutian pilihan kerana berasa terjamin dengan tahap keselamatan dengan adanya inisiatif berkenaan.

Malah, beliau berkata, keberkesanan inisiatif itu telah dibuktikan apabila terdapat kes pengunjung pengsan di lokasi tumpuan dan bantuan kecemasan awal telah diberikan bagi memastikan pesakit selamat sebelum tibanya ambulans dan mendapatkan rawatan susulan di hospital.

“Pujian ini antara yang diberikan pelancong kepada sukarelawan Paramedik Komuniti kerana bukan semuanya (pelancong) datang bercuti dalam keadaan yang sihat. Ada yang datang ke Melaka dengan sejarah penyakit tertentu dan ada juga sedang mendapatkan rawatan.

“Jadi menerusi inisiatif ini mereka rasa lebih selamat kerana Melaka menyediakan satu kemudahan kesihatan yang tidak ada di tempat-tempat lain.

“Itulah yang membezakan Melaka kerana pelancong bukan sahaja boleh menikmati pelbagai produk yang tersedia, bahkan mereka tidak perlu bimbang sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan di luar jangka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Stesen Rawatan Kecemasan Paramedik Komuniti di Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Dr. Muhamad Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri memaklumkan, setakat ini terdapat lapan paramedik dan tiga petugas St. John ditempatkan di lokasi ‘hotspot’ pelancongan pada setiap hujung minggu bermula jam 4 petang hingga 1 pagi.

Menurut beliau, sukarelawan Paramedik Komuniti itu bukan hanya menunggu di stesen khas yang disediakan bahkan turut bergerak menggunakan basikal dengan kadar respon pantas untuk ke satu-satu lokasi.

“Jika berlaku kecemasan, orang ramai boleh menghubungi 999 dan ia akan disambungkan terus kepada stesen Paramedik Komuniti untuk bergerak dan memberikan bantuan awal kepada pesakit.

“Malah, dijangka pada Mei nanti, MBMB akan menyediakan butang panik (panic button) di lokasi tertentu yang mana ia akan lebih memudahkan pengunjung dan pelancong untuk menekan butang berkenaan sekiranya berlaku kes kecemasan dan bantuan akan segera tiba dalam tempoh maksimum lima minit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

572
Kongsi :
Previous post Aura ‘air balang Rauf’
Next post Kemesraan Ab Rauf tawan hati rakyat Melaka
Ubah saiz-+=