Pelancongan agama jadi antara tarikan TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 14 Julai – Penekanan subsektor pelancongan agama perlu diseimbangkan sebagai antara tarikan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, penganjuran pelbagai program berpaksikan kerohanian sebagai sebahagian produk pelancongan wajar dilaksanakan bagi membudaya dan mencorakkan pembangunan dakwah.

“Di Melaka kita mempunyai pelbagai produk-produk berteraskan agama Islam seperti tarikan masjid-masjid bersejarah yang lama, Kompleks Falak Al-Khawarizmi dan pelbagai lagi.

“Kita mampu menganjurkan seminar-seminar yang boleh kita jemput pembentang-pembentang dari luar yang bertaraf antarabangsa sekali gus mampu menarik peserta dari dalam dan luar negara.

“Selain itu, kita yakin produk pelancongan ini akan akan diperkenalkan dengan menggunakan tarikh-tarikh besar seperti sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul, tarikh kedatangan Ramadan, Syawal serta seumpamanya dibangunkan dengan nilai-nilai kerohanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Melaka Munajat Bersama Tuan Guru Abdul Somad Sempena Sambutan Maal Hijrah 1445H di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengam mana-mana pihak bagi memastikan hasrat terbabit mampu dicapai sempena TMM2024.

Beliau yakin, pelbagai penganjuran program dengan sentuhan kerohanian itu mampu menyumbang kepada nilai-nilai ihsan dalam kalangan masyarakat, selain pengukuhan iman umat Islam.

“Mengambil contoh program Melaka Munajat ini, ramai peniaga mendapat manfaat rezeki malah ada yang mengambil kesempatan membudayakan nilai ihsan yang kita tidak jangkakan.

“Nilai ihsan ini harus kita ambil dalam kita melaksanakan program seperti ini kerana penghayatan ini akan membuka peluang kepada amalan-amalan bersedekah dan perpaduan dalam kalangan umat Islam agar dapat melahirkan akhlak mulia dengan menjauhkan sifat-sifat tercela,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1170
Kongsi :
Previous post Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 malam ini
Next post 200,000 penerima STR terima RM600 SARa mulai Isnin – PM Anwar
Ubah saiz-+=