Pelbagai kaum hadiri Rumah Terbuka Aidilfiri Kerajaan Negeri
AYER KEROH 29 April – Ribuan pengunjung pelbagai kaum memeriahkan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri berlangsung di Pusat Dagangan Antarbangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Penganjuran rumah terbuka dari jam 10 pagi hingga 3 petang tadi membabitkan 70 gerai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri yang menyediakan makanan serta minuman untuk dijamah pengunjung yang hadir.
Selain menikmati pelbagai juadah yang disediakan, orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar dan bersalaman bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta pemimpin Kerajaan Negeri.
Pengunjung, Lim Yuen Ting, 43, bersama enam lagi ahli keluarga lain singgah ke majlis itu untuk menikmati hidangan tradisional Melayu seperti rendang, lemang dan ketupat.
“Selain menikmati hidangan disediakan dan merasai kemeriahan Aidilfitri, penganjuran majlis seperti ini amat bagus untuk orang muda. Menerusi penganjuran program seperti ini mereka mendapat pendedahan mengenai budaya, hidangan tradisional dan perayaan kaum lain.
“Memang meriah, pelbagai kaum ada dan semangat perpaduan ditunjukkan pada majlis rumah terbuka seperti ini menyebabkan saya berasa terharu serta gembira,” katanya yang menetap di Kota Laksamana.
Sementara itu Mohd Khairul Nizam Isnin, 30, pula hadir bersama isteri dan tiga anak mereka dengan memakai baju Melayu serta kurung sedondon warna ungu.
“Setiap tahun saya dan keluarga mesti datang ke Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka untuk memeriahkan suasana dan melihat konsep-konsep hiasan yang diketengahkan.
“Tahun ini konsep bungaan atau flora. Selain itu, penganjuran majlis seumpama ini memupuk perpaduan apabila yang hadir terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa,” katanya yang tinggal di Bukit Katil.
Seorang lagi pengunjung, T Nita, 45, berkata dia menghadiri majlis tersebut bersama suami dan anak lelakinya untuk merasakan suasana satu Malaysia berkumpul dalam satu majlis.
“Saya suka datang ke ‘open house’ macam ini sebab mahu merasakan suasana satu Malaysia.
“Tujuan utama kami sekeluarga datang, untuk menikmati juadah yang disediakan kerana saya suka makan ketupat, suami suka makan rendang dan anak lelaki suka makan lemang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.