Pemandu tersepit kereta kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

JASIN 25 Nov. – Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari mengambil masa kira- kira 45 minit bagi mengeluarkan dua pemandu kereta yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Merlimau-Lipat Kajang, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira- kira jam 7.20 pagi itu membabitkan dua buah kenderaan iaitu Proton Wira dan Proton Iswara yang mengakibatkan pemandu kereta tercedera.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sebelum kemalangan Proton Wira dipandu lelaki berusia 29 tahun dalam perjalanan dari arah Lipat Kajang menghala ke Muar, Johor manakala Proton Iswara dipandu lelaki berusia 49 tahun pula dari arah sama menuju ke Jasin.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira itu didakwa tiba- tiba terbabas sebaik melalui lokasi kejadian lalu memasuki laluan Proton Iswara yang juga dari arah Lipat Kajang.

KEADAAN kereta mangsa yang remuk. Ihsan pembaca

“Akibat kemalangan itu kedua- dua pemandu mengalami kecederaan di bahagian kaki serta tangan dan dikejarkan ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan selain kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi BBP Jasin Bestari Pegawai Bomba Kanan (PBK) II K Kalaiselvem berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.21 pagi sebelum 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba bomba mendapati kedua-dua pemandu tersepit di tempat duduk dan kami menggunakan pemotong hidraulik untuk memotong pintu kereta sebelum berjaya membawa keluar mangsa pertama iaitu pemandu Proton Wira.

“Selepas itu kami terpaksa menggunakan rantai yang ditarik jentera untuk mengalihkan Proton Wira bagi membolehkan kerja menyelamatkan mangsa kedua dapat dilakukan,” katanya.

Views:

925
Kongsi :
Previous post Upah nikah RM100
Next post Pencemaran Sungai Punggur Paya Redan: Kilang proses ayam tidak terlibat – JAS Melaka
Ubah saiz-+=