Pembantu kedai maut motosikal rempuh kereta

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KLEBANG 13 Ogos – Seorang pembantu kedai maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah kereta di atas jejambat Jalan Pesisir Pantai Klebang di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 4 pagi itu, Muhammad Fazrul Hafizi Mohd Zamzuri, 18 yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15Z maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta jenis Honda Accord berusia 40 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata siasatan awal mendapati mangsa dan pemandu kereta dalam perjalanan dari arah sama iaitu dari persimpangan lampu isyarat Dataran Klebang menghala ke lampu isyarat berhampiran Encore Melaka.

Katanya, setibanya di jejambat jalan berkenaan, motosikal mangsa merempuh kereta terbabit dari arah belakang.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum terseret dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya sama ada mangsa berlumba, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan berikutan tiada saksi bebas yang melihat kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Waris mangsa dikesan dan hadir bagi pengecaman mayat manakala pemandu kereta terbabit diambil sampel darah untuk dianalisa bagi tujuan kandungan alkohol dan dadah oleh Jabatan Kimia.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

17329
Kongsi :
Previous post JKM Johor Bahru kesan waris kanak-kanak tujuh tahun mangsa dera
Next post Alley Gator juara bola jaring Liga Sukan Komuniti
Ubah saiz-+=