Pemilik tadika swasta putih mata lebih RM1 juta lesap

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 9 Jun – Seorang wanita kerugian lebih RM1.06 juta akibat diperdaya seorang individu yang menawarkan pelaburan atas talian tidak wujud bulan lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata siasatan awal mendapati wanita berusia 52 tahun yang juga pemilik sebuah tadika swasta di Bukit Piatu berkenalan dengan seorang lelaki dipercayai warga Taiwan yang menggunakan nama Tan Sau Fung menerusi laman Instagram pada 27 April lalu.

Katanya, lelaki berkenaan mendakwa tinggal di Jepun dan sejak perkenalan itu mereka berdua sering berkomunikasi menggunakan aplikasi Lime sebelum hubungan kedua-duanya menjadi rapat.

“Pada 7 Mei lalu suspek menawarkan mangsa membuat pelaburan dengan membeli barang menerusi laman web yang kononnya berpangkalan di Amerika Syarikat.

“Mangsa dikehendaki membeli dahulu barang yang hendak dibeli oleh mana-mana pelanggan dan menjual semula kepada pelanggan dengan mendapat keuntungan 10 peratus bagi setiap barang.

“Akibat terlalu mempercayai suspek, mangsa membuat 28 transaksi secara berperingkat ke dalam enam akaun berbeza yang keseluruhannya berjumlah RM1.064 juta dalam tempoh 7 Mei hingga 30 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, mangsa menyemak laman web berkenaan dan mendapati jumlah komisen diperolehinya berjumlah USD200,000 dan mahu mengeluarkan wang berkenaan namun diarahkan membuat bayaran tambahan.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa merasa curiga dan cuba mengakses laman web berkenaan namun gagal sebelum wanita itu membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa menggunakan wang simpanan dan meminjam wang dari ahli keluarganya untuk melabur dalam laman web berkenaan.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1013
Kongsi :
Previous post Taman Laut Melaka diwartakan
Next post Lelaki kasari pemandu wanita dipenjara seminggu
Ubah saiz-+=