Penguatkuasaan, fatwa ajaran sesat ditentukan kerajaan negeri

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BUKIT PALAH 23 Ogos – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menetapkan garis panduan bagi mengekang penyebaran kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah di negara ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, bagaimanapun segala tindakan penguatkuasaan dan fatwa ditentukan oleh pihak berkuasa jabatan agama negeri masing-masing.

“Kita sudah kenal pasti ajaran ini dan menteri agama telah keluarkan kenyataan, soal fatwakan atau lebih lanjut kita serahkan kepada pihak berkuasa di negeri masing-masing terutamanya negeri yang ada gerakan ajaran tu.

“Cuma Setakat ini dalam pengawasan, kita telah gunakan segala peruntukan undang-undang yang ada bagi mengekang penyebaran ajaran tersebut, sebenarnya garis panduan dan ciri ajaran sesat sudah ada cuma langkah seterusnya untuk fatwakan ajaran itu.

“Setakat ini Negeri Selangor, Kedah (Langkawi ), Johor sudah ada yang dikenakan tindakan, mungkin akan ada pendakwaan terhadap mereka yang terlibat ajaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selepas Seminar Penghayatan Nilai-Nilai Islam Penjawat Awam Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 di Auditorium Masjid Al-Azim di sini, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jumlah individu yang terlibat dalam ajaran sesat tersebut.

“Kita masih belum ada data yang lengkap berapa ramai terlibat, bagaimanapun kita sentiasa memantau pergerakan mereka ini agar tidak terus terkeluar daripada ajaran syariat Islam.

“Kerajaan tidak memandang ringan apa-apa kumpulan dan ajaran yang keluar daripada manhaj Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah dan syariat Islam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1453
Kongsi :
Previous post MARA, AMI perkenal motosikal jenama tempatan tahun hadapan
Next post Remaja 13 tahun antara 18 ditahan disyaki curi kenderaan
Ubah saiz-+=