Pengurangan 50 peratus sewa premis, lesen penjaja Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

SERI NEGERI 18 Jun – Kerajaan negeri bersetuju untuk mengurangkan 50 peratus sewa tapak dan premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri, kecuali pasar awam sepanjang bulan ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, inisiatif itu akan melibatkan 2,922 penyewa dengan implikasi kewangan mencecah RM590,000.

Selain itu, katanya, caj lesen penjaja dan peniaga kecil juga akan dikurangkan sebanyak 50 peratus bermula Jun hingga Disember 2021.

“Pengurangan itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan setiap PBT,” katanya dalam pengumuman khas Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021: Sejahtera Bersama yang dipancarkan secara langsung dari Seri Negeri, hari ini.

Sulaiman menambah, kerajaan negeri turut bersetuju mengurangkan sewa premis sebanyak 50 peratus kepada penyewa Industri Kecil dan Sederhana (IKS), gerai dan usahawan bagi bulan Jun dan Julai 2021, dengan syarat tunggakan sewaan bulanan adalah tidak melebihi tiga bulan.

Selain itu, kerajaan negeri melalui Yayasan Melaka juga bersetuju memberi pengecualian sewaan kepada penyewa rumah kedai, kediaman, lot tanah, tapak kosong dan gerai medan selera di kediaman Pelajar Yayasan Melaka serta asrama di Kediaman Pelajar Yayasan Melaka dan bangunan korporat.

“Pengecualian ini telah diberikan pada Januari dan Februari tahun ini dan diteruskan bagi tempoh Jun hingga Ogos 2021, melibatkan implikasi kewangan hampir RM700,000,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

615
Kongsi :
Previous post Pakej kebajikan untuk rakyat dan kelangsungan industri
Next post Pelajar cemerlang SPM, STAM, STPM di Melaka bakal terima insentif
Ubah saiz-+=